Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 10, 2017

[TEMERLOH] CADANG PAIP TUBUH SKUAD KHAS


Cadang Paip tubuh skuad khas


Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dicadangkan mempunyai skuad khas menangani kehilangan air terawat bagi mengelakkan kerugian kepada syarikat itu.

Penduduk, Umar Othman, 28, berkata, kehilangan air terawat akibat paip saluran air bawah tanah yang pecah bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada Paip malah boleh mengundang masalah lain seperti kerosakan jalan raya dan juga runtuhan tebing.

Menurutnya, cadangan yang diberikan itu diharap dapat mengurangkan masalah kehilangan air terawat yang banyak berlaku di sini.

“Cadangan ini merangkumi semua kawasan bukanlah di lokasi tertentu kerana berdasarkan kejadian sebelum ini banyak kes paip air pecah lambat diambil tindakan.

“Kami bukan mahu menyalahkan Paip sebaliknya tak mahu Paip tanggung kerugian dengan kejadian-kejadian seperti ini,” katanya.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Mohamad Bakri Awang Basir, 63, berkata, Paip dicadangkan memberikan sagu hati kepada pemberi maklumat berkenaan kejadian itu.

“Contohnya laporan kejadian paip utama atau paip besar yang pecah di bawah jalan raya tanpa disedari orang ramai ini yang perlu diberikan sagu hati. 

“Kalau paip pecah depan rumah pun kalau dapat bantu mereka pun boleh diberikan sagu hati.

“Laporan yang dimaklumkan kepada Paip itu perlu segera diambil tindakan.

“Kita buat cadangan ini supaya semua pihak dapat manfaat dan tidak mengalami kerugian,” katanya.

Sementara itu Mohamad Bakri berkata, Paip juga digesa mempercepatkan kerja menurap semula jalan rosak akibat kerja baik pulih paip pecah.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat (Paip) Nurul Farhana Abdul Hamid berkata, sekiranya penduduk mempunyai maklumat berkenaan kejadian paip pecah dan berkaitan dengannya lebih disyorkan memberikan lokasi yang spesifik untuk tindakan pihaknya.

Katanya, Paip sentiasa akan meningkatkan tahap operasi dengan lebih baik dari masa ke semasa.


0 comments:

share2