Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 10, 2017

[JERANTUT] KEMBALI DIGANGGU GAJAH LIAR


Kembali diganggu gajah liar


Ketakutan selepas diganggu sekumpulan gajah liar masih belum reda, namun kini penduduk Kampung Bukit Rang 2, di sini, terpaksa berdepan situasi sama sekali lagi apabila sekumpulan haiwan liar itu kembali menceroboh kediaman dan ladang tanam semula sawit berdekatan kampung itu.

Haiwan liar itu dilihat masuk ke kawasan terbabit pada sebelah pagi dan malam sejak penghujung Ogos tahun lalu, terutama berdekatan kawasan kediaman dan ladang sawit milik Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang (LKPP) yang terletak hanya kira-kira satu kilometer dari kampung berkenaan.

Penduduk mendakwa 17 ekor gajah menceroboh ladang berkenaan pada jam 7 pagi, Jumaat lalu, untuk mencari makan.

Ketua Kampung Bukit Rang, Sharudin Idris berkata, ancaman haiwan liar itu sebenarnya sudah berlaku sejak pertengahan tahun lepas sehingga menakutkan penduduk untuk masuk ke ladang dan kebun.

“Kita dapat aduan penduduk mengenai gajah liar pernah menceroboh kira-kira 50 meter berdekatan kediaman di penempatan baharu Kampung Bukit Rang 2 bersebelahan projek sawit LKPP.

“Mujurlah gangguan itu tidak membabitkan nyawa manusia, tapi banyak tanaman pisang, nangka madu serta sawit habis dimakan dan dimusnahkan,” katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah memaklumkan Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan sudah ada kekerapan tindakan bagi memastikan haiwan liar itu tidak menceroboh kawasan pertanian.

Katanya, pada malam kejadian, pihak Perhilitan turut berkawal sehingga jam 4 pagi bagi memastikan keselamatan penduduk kampung.

Seorang penduduk, Mohd Kamal Bidin, 52, berkata, haiwan liar itu kerap menceroboh berdekatan kediaman pada waktu malam dan penduduk tidak berani menghalau kerana takut diancam gajah liar itu.

“Haiwan ini berasal dari Hutan Simpanan Lepar tapi terpaksa berhijrah ke sini untuk cari makan berikutan banyak kawasan hutan sudah ditebang. Haiwan ini berkeliaran ke kawasan kampung dan Felda berdekatan,” katanya.

Tambahnya, penduduk Kampung Bukit Rang 2 menanggung kerugian apabila tanaman pisang dan ubi kayu komersial termasuk nangka madu dibaham gajah itu sebelum haiwan liar itu menceroboh ladang sawit milik LKPP.

Pada hari yang sama, penduduk Kampung Bukit Rang 2 sekali lagi dikejutkan dengan tetamu tidak diundang itu yang dikatakan telah menceroboh halaman rumah salah seorang penduduk di situ.

Dalam kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 9.45 malam itu, kira-kira enam hingga lapan gajah liar memasuki halaman rumah seorang penduduk lalu merosakkan pagar serta beberapa barangan lain.

Mohd Salleh Uda, 65, berkata, ketika kejadian, dia sedang menonton televisyen sebelum terdengar bunyi kuat di luar rumah.

“Bila saya nyalakan lampu di luar rumah, saya lihat dua ekor gajah di halaman rumah. Gajah itu merebahkan kerusi meja simen, merosakkan cermin tingkap dan memecahkan pasu bunga," katanya.


0 comments:

share2