Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 10, 2017

‘MAAFKAN ABANG TAK DAPAT BALIK'


‘Maafkan abang tak dapat balik’


Alor Setar - Seorang isteri pasti tidak dapat melupakan permohonan maaf terakhir suaminya melalui telefon sebelum suaminya itu gagal dikesan selepas keluar mencandat sotong di kawasan perairan Kuala Kedah, Sabtu lalu.

Hamidah Zakaria,26, berkata, sebelum itu dia cuba menghubungi suaminya, Shukri Abd Rashid,30, pada jam 2 pagi kerana bimbang keadaan cuaca ketika itu yang hujan.

Menurutnya, suaminya tidak menjawab panggilannya pada mulanya dan menghubunginya semula kira-kira jam 3 pagi.

"Ketika itu suaminya hanya memohon maaf kerana tidak dapat pulang ke darat untuk menemaninya yang sedang sarat mengandung.

“Abang minta maaf tak dapat balik sebab cuaca buruk, itu sahaja yang dikatakan oleh suami saya. Mungkin dia fikirkan saya sakit hendak bersalin, padahal saya hubunginya kerana risau keselamatannya.

“Saya ada menasihatinya agar meninggalkan botnya di laut dan menumpang bot besar yang lalu untuk pulang ke darat,” katanya.

Hamidah berkata, dia kemudian cuba menghubungi suaminya sekali lagi pada jam 4 pagi, namun tidak berjawab.

“Selepas itu, saya tidak lagi mendapat berita daripada suami sehingga sekarang,” katanya.

Menurutnya, suaminya aktif mencandat sotong sejak tiga tahun lalu namun hanya turun mencandat pada waktu tertentu sahaja.

“Saya tidak nafikan, cuaca agak buruk beberapa hari ini. Malam kejadian pun suami ada beritahu kalau cuaca elok baru dia akan turun mencandat,” katanya.

Hamidah yang juga baru melahirkan cahaya mata lelaki malam kelmarin berkata, dia mula berasa sakit hendak bersalin ketika berada di lokasi pencarian pada jam 8 malam.

“Selepas memberitahu kepada pegawai bomba, saya terus dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) oleh EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja pada jam 9.08 malam.

“Sepatutnya saya dijangka bersalin pada 15 Januari ini,” katanya yang selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada jam 9.50 malam.

“Alhamdulillah, saya dan bayi sihat. Kami dibenarkan pulang ke rumah jam 11 pagi tadi (semalam),” katanya.

Hamidah berkata, dia bersama dua anaknya, Muhammad Shakir Hafuza,7 dan Muhammad Saifullah Hafiz,5, setia menanti kepulangan suaminya.

“Saya reda apa pun keadaan yang berlaku, saya hanya berharap suami segera ditemui,” katanya mengalirkan air mata.

Sementara itu, anak kedua mereka, Saifullah Hafiz yang belum mengerti situasi yang berlaku, hanya menjawab ayahnya pergi mencandat sotong ketika ditanya perihal ayahnya.

“Abah balik lambat, abah pi (pergi) mencandat sotong, nanti bawa balik sotong banyak-banyak,” katanya tersenyum ramah.

Bot mangsa petunjuk baru

Sementara itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (SARS) yang disambung pagi tadi berjaya menemui suatu petunjuk baru.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, setelah hampir 24 jam operasi menyelamat dijalankan, anggota penyelamat berjaya menemui bot mangsa kira-kira dua batu nautika dari persisiran pantai Kuala Kedah.

“Bot berkenaan berjaya dikesan dalam keadaan tenggelam pada jam 10.45 pagi dan ditarik naik ke jeti pada jam 11 pagi.

“Bot berkenaan sah milik mangsa setelah dikenal pasti oleh ahli keluarga dan rakan- rakan mangsa. Berdasarkan penemuan bot berkenaan, kita juga percaya, mangsa berada di sekitar kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut Mohd Rozi, operasi mencari juga diperkemas dengan tambahan aset daripada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Kita dapat bantuan daripada sebuah pesawat jenis Amphibia Bombardier dari pihak APMM yang berpangkalan di Subang dan penggunaan dron dari pihak JBPM untuk skop pencarian yang lebih meluas.

“ Keluasan kawasan pencarian di laut juga diperluaskan sehingga mencecah lima batu nautika dari persisiran pantai,” katanya.


0 comments:

share2