Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 9, 2017

TAMAN MINI AIR ETNOBOTANI 2 MINGGU PERCUMA


Taman Mini Air Etnobotani


Gua Musang - Taman Mini Air Etnobotani, yang dibangunkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), di Taman Etnobotani, di sini, dibuka kepada pengunjung mulai hari ini.

Sempena dengan pembukaan ini, Kesedar membuka ruang kepada pengunjung untuk datang menikmati kemudahan ini secara percuma selama dua minggu.

Timbalan Pengerusi Kesedar, Datuk Nozula Mat Diah berkata, pembangunan taman mini air pertama di Gua Musang ini menelan kos keseluruhan hampir RM800,000 dengan binaan tiga kolam untuk setiap peringkat usia iaitu bayi, kanak-kanak dan dewasa.

Katanya, pembangunan ini adalah salah satu usaha dalam memberikan kemudahan aktiviti rekreasi dan keluarga kepada penduduk di kawasan ini.

"Sudah lama penduduk di kawasan ini menantikan kemudahan seperti ini. Jadi, pembangunan taman air ini adalah bertepatan dengan matlamat kita.

"Kita yakin, bukan hanya menjadi tumpuan penduduk sekitar, malah ia berpotensi menjadi salah satu destinasi pelancongan di Malaysia kerana komponen pelancongan di taman ini dilengkapi taman herba, ternakan rusa, 'rock climbing' dan pusat urutan tradisional.

"Bukan itu sahaja, ia mampu membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat. Sekiranya taman ini mendapat sambutan yang menggalakkan, kita akan membuka kiosk-kiosk perniagaan makanan dan keperluan lain di sekitar kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Taman Mini Air Etnobotani, di sini, yang disempurnakan oleh Adun Galas, Ab Aziz Yusoff.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar Pengurusan Kesedar, Iskandar Zulkarnain Ibrahim dan Ketua Polis Daerah, Superitendan Rajab Ahad Ismail.

Tambah Nozula yang juga Pengerusi Kesedar Inn, taman mini ini bakal memberi sumber pendapatan baharu buat Kesedar Inn selain Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di mana sasaran awal adalah RM160,000 setahun.


0 comments:

share2