Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 9, 2017

[KUANTAN] MASALAH BEKALAN AIR DI FELDA SELESAI


air


Masalah bekalan air yang dihadapi 75,000 penduduk Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan di sini sejak 10 tahun lalu berakhir selepas paip baharu dari Loji Air Semambu ke kawasan itu mula beroperasi sejak 4 Januari lalu.

Ahli Parlimen Paya Besar, Dato' Sri Abdul Manan Ismail berkata, pemasangan paip jenis MS 400MM sepanjang 4.6 kilometer dengan kos RM2 juta itu menyelesaikan masalah bekalan air melibatkan 15,000 akaun pengguna di kawasan tersebut.

Beliau berkata, masalah bekalan air di dua felda itu berlaku sejak tahun 90-an dan keadaan semakin buruk pada musim perayaan serta cuti panjang.

"Situasi itu berlaku kerana paras air Sungai Riau yang membekalkan air mentah kepada Loji Bukit Goh di sini, dilihat semakin cetek dan kering. Sejak kebelakangan ini, Sungai Riau tidak lagi mampu membekalkan air secukupnya.

"Keadaan ini semakin teruk dengan peningkatan bilangan penduduk apabila generasi kedua penduduk Felda turut memilih untuk menetap di sini," katanya kepada pemberita di Dewan Orang Ramai Perkampungan Bukit Goh di sini, semalam. 

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing, Dato Md Sohaimi Mohamed Shah dan Pengurus Kanan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Kuantan, Abdul Aziz Mohamed Noh.

Abdul Manan berkata, bagi mengatasi masalah itu, Paip memulakan kerja memasang paip yang menyambungkan air dari Loji Air Semambu ke kawasan ini sejak pertengahan tahun lalu memandangkan loji itu mempunyai bekalan air yang banyak dari Sungai Kuantan.

Beliau berkata, para penduduk di kawasan terlibat tidak perlu bimbang masalah itu berulang kerana mereka kini dibekalkan air bersih dan berkualiti kerana Loji Air Semambu memiliki kapasiti lebih besar serta menggunakan teknologi lebih baik berbanding Loji Air Bukit Goh.

"Loji Air Bukit Goh tidak lagi digunakan dan satu tangki air dengan kapasiti satu juta liter turut dibina di kawasan Bukit Goh supaya bekalan air di sini tidak terputus jika berlaku masalah pada loji," katanya.


0 comments:

share2