Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 8, 2017

[KUANTAN] MAUT DIREMPUH KETIKA BERHENTI LAMPU ISYARAT MERAH


Kemalangan‎


Seorang penghantar surat maut selepas sebuah kereta merempuh motosikal yang ditungganginya ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Tanah Putih-Jalan Wong Ah Jang, Kemunting di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa Mohd Nazreen Bahari, 24, yang menunggang motosikal Yamaha 125 itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Kejadian dipercayai terjadi apabila kereta jenis BMW yang dipandu Goh Kah Chun yang menghala ke Gambang hilang kawalan lalu merempuh mangsa yang sedang berhenti kerana lampu isyarat merah.

"Kereta itu kemudiannya terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebuah kedai menjual kenderaan terpakai di situ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata rempuhan itu menyebabkan empat kereta terpakai jenis Naza Bestari, Perodua Viva, Honda Civic dan Proton Gen2 milik Syarikat Kam Yun Auto Enterprise mengalami kerosakan.

Abdul Aziz berkata Goh, 44, yang berasal dari Indera Mahkota 1 di sini, turut cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini.

"Polis telah mengambil sampel darah dan air kencing Goh bagi ujian toksikologi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


0 comments:

share2