Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 17, 2017

'SAYA MAAFKAN PERBUATAN INDIVIDU ITU'


'Saya maafkan perbuatan individu itu'


Alor Setar - Pelawak terkenal Lan Pet Pet atau nama sebenarnya, Mazlan Ahmad terkilan dengan sikap individu yang menyebarkan berita kematiannya sejak beberapa hari lalu.

Berita palsu itu yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook menjadi viral, sehingga dirinya dihujani panggilan telefon tanpa henti yang mahu mengetahui kesahihan berita itu. 

Lan Pet Pet ketika dihubungi berkata, beliau sendiri terkejut dengan paparan berita di portal sinar.com.my dan Sinar Harian News, yang diterima daripada seorang kenalan menerusi grup WhatsApp.

“Saya menerima paparan itu pada Ahad lalu, bertanyakan kesahihan berita itu kepada rakan-rakan dalam grup berkenaan. Sedangkan saya sihat sahaja dan terus menafikan apa yang disebarkan. Saya hanya mampu istighfar kerana ia berita palsu,” katanya.

Menurutnya, ini merupakan kali pertama menimpa dirinya, di mana sebelum ini beberapa artis ternama seperti Awie turut menjadi mangsa.

“Ketika itu saya dalam perjalanan pulang dari Langkawi ke Kuala Lumpur. Ibu saya, Asma Abdullah, 89, begitu terkejut dan sedih ketika dimaklumkan perkara itu dan terus menghubungi telefon bimbit saya, kemudian saya menjelaskan perkara sebenar, baharulah ibu lega,” katanya.

Walaupun ia sekadar gosip, Lan Pet Pet kesal kerana perkara yang dianggap mainan oleh sesetengah pihak sebenarnya memberi kesan mendalam terhadap orang lain.

“Saya tidak kisah sangat dengan berita seperti ini, tetapi tolonglah kasihani ibu saya yang sudah tua. Anda bayangkan bagaimana perasaan seorang ibu ketika itu, saya harap perkara seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.

Lan Pet Pet juga memaafkan perbuatan individu berkenaan walaupun mengakui tidak mengenali siapa dalang di sebalik penyebaran berita itu.

“Saya tenang selepas mendengar nasihat ibu, katanya, biarlah apa orang nak buat pada kita, hanya mereka yang mengenali diri kita tahu hal sebenar dan hati budi kita. Ibu juga berpesan supaya tidak mempedulikan cerita yang tidak betul supaya saya boleh fokus kepada kerjaya,” katanya.

Menurutnya, beliau sedikit pun tidak berkecil hati kerana ini merupakan asam garam kehidupan seorang artis, kerana sudah pasti ada pihak yang kurang senang dengan penampilan dirinya.

“Saya seorang yang suka berlawak dan periang, mungkin ada pihak terasa hati atau kurang senang dengan diri saya, dan bertindak sebarkan berita palsu. Saya maafkan sesiapa yang berdendam dengan saya, namun saya tidak ada dendam pada mana-mana individu,” katanya.

Lan Pet Pet juga tidak berhasrat mengambil tindakan perundangan terhadap portal berkenaan.

“Nasihat saya, sekiranya mahu meningkatkan rating portal anda sekalipun, janganlah sebarkan berita yang tidak betul kerana ia menjejaskan banyak pihak. Sebelum siarkan maklumat, lebih elok hubungi empunya diri untuk kesahihan,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya beliau salah sangka apabila keliru dengan portal berkenaan kerana menganggap ia milik akhbar Sinar Harian.

“Setelah saya rujuk kepada wartawan Sinar Harian Utara, rupa-rupanya ia bukan portal yang sama.

"Kredibiliti Sinar Harian juga boleh terjejas sekiranya ada pembaca yang keliru kerana menggunakan nama yang sama,” katanya.


0 comments:

share2