Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 14, 2017

PENDUDUK HARAP JAMBATAN BAHARU


Penduduk harap jambatan baharu


Kota Bharu - Penduduk Kampung Demit di sini mengharapkan pembinaan jambatan yang lebih besar supaya dapat menghubungkan dua kampung di kawasan itu yang telah pun terputus hubungan sejak lebih tujuh tahun lalu selepas jambatan itu reput dan semakin uzur.

Jambatan yang dibina sejak 30 tahun lalu itu, sebelum ini menjadi penghubung antara dua kampung termasuk Kampung Demit Darat dan Kampung Demit.

Ekoran keadaan jambatan berkenaan yang semakin uzur, penduduk tidak lagi menggunakan jambatan itu kerana khuatir dengan keselamatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) mukim Demit, Hamat Abd Kadir berkata, jambatan berkenaan dibina melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan hanya boleh dilalui dengan motosikal dan pejalan kaki sebelum ini.

“Kami harap selepas ini pembinaan jambatan itu dapat dibaik pulih dan dibesarkan bagi membolehkan penduduk melaluinya dengan kenderaan lebih besar termasuk kereta.

“Ini penting kerana laluan ini merupakan jalan yang lebih dekat yang menghubungkan dua kampung dan memudahkan penduduk untuk ke masjid dan ke kawasan tanah perkuburan bagi pengurusan jenazah,” katanya.

Beliau berkata, sejak jambatan itu uzur orang ramai tidak lalu menggunakan laluan itu dan kawasan terbabit juga turut dipenuhi semak samun.

“Oleh itu harapan kami supaya jambatan ini dapat dibaiki demi kemudahan penduduk di dua kampung ini memandangkan kami terpaksa menggunakan laluan yang lebih jauh setelah jambatan itu rosak,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa JKKKP mukim terbabit, Zawawi Mustafa berkata, perkara itu telah diusulkan kepada pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan pihak terbabit telah pun mengambil perhatian.

“Pihak KKLW telah pun datang ke kawasan ini dan membuat tinjauan dan kita harap jambatan ini dapat dibina semula dengan keadaan yang lebih besar dan dapat dilalui oleh kenderaan bagi memudahkan urusan penduduk kampung ulang alik dan tidak perlu lagi melalui laluan yang jauh selepas ini,”katanya.


0 comments:

share2