Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 14, 2017

[LIPIS] URUSAN HARIAN JADI LEBIH MUDAH


Urusan harian jadi lebih mudah


Hampir 1,000 penduduk di Kampung Aur Gading dan Chegar Perah di sini melahirkan rasa gembira apabila projek pembinaan jambatan konkrit baharu sedang giat dijalankan.

Ketua Kampung Aur Gading, Abu Hanipah Sulaiman berkata, pembinaan jambatan konkrit baharu merentangi Sungai Tanum di Kampung Aur Gading itu dibuat bagi menggantikan jambatan konkrit lama yang musnah akibat banjir besar tahun 2014.

Menurutnya, jambatan baharu itu juga memberi kelegaan kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah kerana ia merupakan satu-satunya laluan murid untuk ke Sekolah Kebangsaan Aur Gading. 

“Selepas jambatan konkrit yang lama runtuh, penduduk terpaksa guna jambatan gantung berhampiran masjid.

“Kini kami boleh tarik nafas lega bila kerja-kerja pembinaan jambatan itu sedang dilakukan.

“Selepas ini penduduk tak lagi susah untuk ke kebun, hantar anak ke sekolah, pergi ke Klinik Desa Bukit Betong atau ke Bandar Lipis untuk selesaikan urusan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long melihat perkembangan projek pembinaan jambatan konkrit baharu Sungai Tanum di Kampung Aur Gading di sini, kelmarin.

Dalam kejadian banjir besar pada 2014 lalu, jambatan baharu Aur Gading di laluan alternatif antara Bukit Betong-Aur Gading- Chegar Perah ke Merapoh runtuh dan berlaku mendapan.

Jambatan konkrit itu runtuh berikutan air Sungai Tanum melimpah dan arus deras sehingga menyebabkan tebing runtuh dan sebahagian ‘beam’ patah serta jalan raya di situ turut mendap.


0 comments:

share2