Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 14, 2017

[KUANTAN] TAK SERIK DICEKUP MENAGIH DADAH


Tak serik dicekup menagih dadah


Seorang bapa berusia 54 tahun tidak serik walaupun pernah beberapa kali ditangkap sebelum ini kerana terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Bapa empat anak itu antara 30 penagih yang ditahan dalam Ops Sarang di Cherating dan Sungai Ular, bermula jam 7 pagi hingga jam 6 petang, kelmarin.

Operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu dijalankan bersama anggota Balai Polis Cherating diketuai Sarjan Mohamed Ibrahim.

Ketua Pegawai AADK Kuantan, Nor Hafiza Ibrahim berkata, pihaknya terpaksa membuat penyamaran dengan menunggang motosikal dan menahan secara rambang sekiranya terserempak dengan individu mencurigakan.

Menurutnya, anggota terlibat turut merampas segulung plastik mengandungi wayar tembaga yang dipegang oleh dua penagih.

“Wayar tembaga ini dipercayai dicuri dan hendak dijual di sebuah kedai besi buruk di Cherating.

“Dua penagih berkenaan mengakui wang hasil jualan barang curi digunakan untuk membeli dadah.

“Kita juga melakukan serbuan ke atas sebuah markas yang dipercayai menjadi tumpuan penagih dadah untuk melepaskan gian selain serbuan dari rumah ke rumah hasil aduan orang awam,” katanya.

Nor Hafiza berkata, terdapat sebahagian daripada penagih yang ditahan untuk diperiksa cuba bertindak agresif untuk melarikan diri namun gagal berbuat demikian.

Menurutnya, hasil ujian saringan yang dilakukan mendapati 23 penagih positif dadah jenis Methamphitamine dan Opiat, manakala tujuh lagi disahkan negatif namun dua daripada mereka dikehendaki polis atas kesalahan jenayah.

Semua penagih yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.


0 comments:

share2