Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 13, 2017

PULANGLAH CHA, KAMI SEMUA BIMBANG...


Pulanglah Cha, kami semua bimbang…


Marang - “Pulanglah Cha…Kami semua bimbang…Cha gagal untuk dihubungi dan sehingga kini masih belum pulang. Kami tidak pasti sama ada dia melarikan diri atau dilarikan orang. Tok Wan risaukan keselamatan Cha….Pulanglah segera...

Demikian rayuan ahli keluarga Cha atau nama sebenarnya, Nadia Natasha Safie, 24, yang dikatakan keluar dari rumah dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Pesona berwarna perak sejak petang Jumaat lalu dan masih belum pulang.

Menurut ibu tirinya, Siti Rokiah Gayah, 45, Nadia gagal dikesan selepas meninggalkan rumah pada minggu lalu tanpa meninggalkan pesanan sehingga memaksa suaminya, Safie Adam, 51, membuat laporan polis kerana bimbang keselamatannya.

“Dia menghilangkan diri sejak Sabtu petang baru ni ….sampai sekarang belum (lagi) ditemui. Dia pergi tanpa pesan dan jejak… Harapan saya kepada sesiapa yang mengenalinya atau mengetahui di mana Nadia berada minta hubungi kami.

“Mereka boleh menghubungi kami di talian suami saya 019 9487007 iaitu bapa kandung Nadia, Safie Adam. Laporan polis juga sudah dibuat kerana bimbangkan keselamatannya tapi hingga kini belum ada perkembangan terkini,” katanya, hari ini.

Siti Rokiah yang ditemui di kediamannya di Jalan Sekolah, kampung Rhu Rendang di sini berkata, kali terakhir mereka bertemu adalah ketika membincangkan mengenai pembukaan sebuah kedai makan yang akan diuruskan Nadia.

“Tiada sebarang krisis berlaku dalam keluarga…Niat terakhir dia ketika berjumpa kami, dia hendak buka kedai….hendak berniaga… hendak buka kedai makan di Wakaf Tapai, Marang..tetapi saya dan suami syorkan buka di (Bandar) Marang.

“Bagaimanapun kedai (mahu dibuka berdekatan sebuah stesen minyak Caltex itu) tidak sesuai dengannya… Lepas tu dia (Nadia) tidak dapat dihubungi sehingga sekarang,” katanya.

Menurut Siti Rokiah, meskipun sudah seminggu berlalu dan Nadia masih tidak pulang, mereka tetap menanti kepulangannya dan berharap anak gadisnya itu dapat segera pulang ke pangkuan keluarga kerana mereka sangat bimbang.

“Pelbagai cara dilakukan untuk mengesannya namun hingga kini tidak berhasil,” katanya.

Dalam pada itu, kehilangan Nadia juga meninggalkan kesan mendalam kepada ibu saudaranya, Fatimah Mohamad dan Zabedah Mohamad.

Ibu saudaranya itu berharap Nadia segera pulang dan kembali semula ke pangkuan mereka.

Nadia dikatakan keluar rumah pada petang Jumaat minggu lalu untuk bertemu dengan rakannya dengan menaiki Proton Persona berwarna perak dan orang ramai juga boleh menghubungi balai polis berhampiran sekiranya melihat gadis tersebut.


0 comments:

share2