Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 3, 2017

[MUADZAM SHAH] TIADA ALASAN TAK DALAMI ISLAM


Tiada alasan tak dalami Islam


Tiada alasan bagi saudara baharu untuk tidak mendalami ilmu agama Islam selepas memeluk agama itu kerana kelas pengajian asas fardhu ain dan sebagainya telah disediakan melibatkan beberapa perkampungan Orang Asli di sekitar Muadzam Shah.

Sebanyak 20 kelas telah diwujudkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dalam usaha menyampaikan ilmu asas agama Islam supaya saudara baharu terus mendapat panduan.

Pegawai Hal Ehwal Islam Muip Cawangan Muadzam Shah, Mohd Hafis Mohd Saad berkata, kehidupan sebelum dan selepas memeluk agama Islam sudah tentu berbeza dan mereka perlu belajar untuk mengamalkannya.

Menurutnya, gaya hidup lama yang bertentangan dengan Islam seperti cara berpakaian, pemakanan dan amalan-amalan lain perlu ditinggalkan dan menggantikannya dengan cara Islam supaya akidah sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, saudara baharu sangat digalakkan menghadiri kelas bridged dakwah yang dianjurkan sebanyak dua kali seminggu itu yang juga merupakan antara inisiatif Muip dalam memastikan saudara baharu mendapat keperluan sepatutnya.

“Saudara baharu yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli di daerah ini sentiasa diberi perhatian dan diberi panduan melalui kelas bridged dakwah yang diwujudkan melibatkan sebanyak 20 buah kampung.

“Seorang tenaga pengajar yang dilantik oleh Muip disediakan bagi menyampaikan ilmu-ilmu asas agama Islam selain boleh mengemukakan soalan sekiranya ada kekeliruan atau ilmu agama Islam yang tak difahami,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Sambutan Maulidur Rasul di Kampung Orang Asli Kedaik, di sini, yang disertai 50 saudara baharu terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Mohd Hafis berkata, sambutan yang amat menggalakkan diberikan oleh saudara baharu di kampung itu menunjukkan kefahaman dan keikhlasan mereka memeluk Islam itu kekal teguh namun masih perlu dipandu.

“Kita harap golongan saudara baharu ini dapat menuntut ilmu agama Islam secara konsisten melalui kelas yang disediakan kerana telah ramai membuktikan mereka boleh hingga mampu membaca al-Quran dengan baik serta hidup dengan cara Islam,” katanya.


0 comments:

share2