Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 31, 2017

[MARAN] BOMBA PAHANG CIPTA TRELER PENYELAMAT TERAPUNG


Bomba Pahang Cipta Treler Penyelamat Terapung


Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berjaya mencipta bot pelbagai fungsi dipanggil treler penyelamat terapung (FRT) yang boleh diguna pakai atas jalan dan kawasan darat yang ditenggelami air untuk tugas menyelamat mangsa banjir.

Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata bot dalam peringkat pembangunan prototaip itu merupakan hasil inovasi oleh Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab, diterajui oleh ketua balai bomba berkenaan, Mohd Kamarudin Mohd Saufi.

Beliau berkata dengan terciptanya bot berkenaan ia berupaya mengatasi masalah melalui jalan terputus ketika banjir sewaktu melaksanakan operasi menyelamat mangsa.

Menurutnya, bot prototaip, yang mula dibangunkan pada Januari tahun lepas, telah diuji semasa operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Buloh di Mentakab baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan melawat dan menyampaikan sumbangan kepada 234 mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Chenor, dekat sini, semalam.

Turut berangkat Tengku Puan, Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga berkenan memasak hidangan makan malam kepada kesemua mangsa banjir itu.

Abdul Wahab berkata antara kelebihan utama FRT itu adalah ia boleh bergerak atas darat sejauh 15km berbanding hanya satu kilometer bagi bot dua alam biasa.

Di samping itu, katanya, FRT itu mampu menampung keperluan logistik hingga mencecah berat 450kg pada satu-satu masa semasa di atas jalan darat serta dapat dikendalikan dengan dua anggota penyelamat sahaja.

Katanya, kos membangunkan FRT dianggarkan RM20,000 dan pihaknya merancang mempatenkan reka cipta itu bagi tujuan dikomersialkan.


0 comments:

share2