Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 31, 2017

[MARAN] AIR TANGAN TENGKU PUAN PAHANG UNTUK MANGSA BANJIR


Banjir


Lebih 200 penghuni di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Tengku Ampuan Afzan di sini, terharu di atas kesudian Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memasak menu makan malam mereka, semalam.

Kesudian Tunku Azizah mencemar duli bersama-sama kru sukarelawan Rela melakukan tugas-tugas dapur sememangnya satu kurnia kepada rakyat jelata yang baginda kasihi.

Meskipun seharian meluangkan masa melawat dari satu lokasi pemindahan ke satu lokasi yang lain di negeri ini, Tunku Azizah tetap bersemangat menyajikan air tangan baginda demi kepentingan rakyat jelata.

Antara menu makan malam yang disediakan ialah ayam masak kicap, ikan masak singgang dan sayur kacang goreng.

Ketibaan Tunku Azizah yang mengiringi suami baginda, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah disambut Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib; Adun Chenor, Datuk Mohammed Ariffin Awang Ismail; Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Pegawai Daerah Maran, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha; Ketua Polis Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi serta pelbagai jabatan berkaitan.

Baginda turut bertitah agar semua penghuni menjaga kebersihan kawasan pemindahan serta menghulurkan sumbangan kepada 234 penghuni, di pusat pemindahan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan Chenor, di sini.


0 comments:

share2