Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 6, 2017

[BENTONG] CSR AMBIL KIRA KEHENDAK DAN KEPERLUAN RAKYAT




Projek pembinaan Central Spine Road (CSR) ‘Bentong Bypass’ sepanjang 28.5 kilometer (km) dengan jumlah kos sebanyak RM578.25 juta bakal mengatasi masalah kesesakan bandar Bentong apabila siap pada 2019.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Bentong Bypass juga dapat merancakkan ekonomi pantai timur kerana laluan itu menjimatkan jarak perjalanan dan meningkatkan aspek keselamatan pengangkutan.

Beliau menambah Bentong Bypass yang bermula berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong merupakan projek yang diberi keutamaan, ekoran masalah kesesakan teruk pada musim perayaan dan hujung minggu di bandar Bentong.

“Bentong Bypass merupakan laluan alternatif kepada Jalan Persekutuan yang dapat memberi keselesaan kepada pengguna dan mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menjimatkan masa perjalanan.

“Pelaksanaan projek ini juga mengambil kira pandangan penduduk setempat yang mahu ia tidak terlalu jauh dari bandar kerana tidak mahu bandar Bentong menjadi pekan mati (selepas CSR siap),” katanya.



Fadillah berkata demikian pada sidang media selepas meninjau tapak projek Bentong Bypass di Kampung Lebu di sini, Khamis, yang turut disertai Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai merangkap Anggota Parlimen Bentong.

Beliau menjelaskan Bentong Bypass merupakan sebahagian daripada Pakej 5 projek pembinaan CSR yang bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang yang keseluruhannya sepanjang 350km dengan kos keseluruhan RM6.6 bilion.

Pakej 5 melibatkan perjalanan dari Raub ke Bentong sepanjang 54km dan pembinaan Bentong Bypass dibahagikan kepada tiga seksyen pembinaan dan telah dimulakan secara berperingkat pada 5 November 2015.

“Projek Bentong Bypass melibatkan pembinaan jalan baharu empat lorong dua hala dengan piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R5 iaitu tahap yang tinggi, satu persimpangan bertingkat, satu jambatan dan satu vehicular box culvert (VBC),” katanya.

Fadillah berharap kontraktor yang dilantik, Primercon Sdn Bhd dan Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku pegawai penguasa akan melaksanakan tugas dengan baik bagi memastikan projek siap mengikut tempoh dan kos yang diluluskan.

0 comments:

share2