Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 12, 2016

TERPENGARUH KARTUN UPIN & IPIN


Terpengaruh kartun Upin & Ipin


Ayer Keroh - Pengaruh animasi Upin dan Ipin mendorong seorang kanak-kanak berusia lima tahun untuk turut serta berkhatan.

Izzul Muhaimin menjadi peserta paling muda pada majlis khatan yang berlangsung di Taman Mini Malaysia di sini, semalam, dikatakan teruja selepas menonton babak berkhatan dalam siri Upin dan Ipin, sekali gus tidak sabar untuk merasai pengalaman tersebut.

Bapanya, Mohd Yusoff Zakaria, 34, berkata, dia bersyukur kerana babak dalam siri animasi itu secara tak langsung mempengaruhi anaknya dan mengetepikan rasa takut.

“Dia memang suka kartun Upin dan Ipin. Dia cepat ikut apa yang Upin dan Ipin buat termasuklah babak berkhatan. Selalulah dia berulang tengok dan teruja bila saya cakap nak sunatkan dia.

“Bagi saya bila dia dah suka ni, baiklah teruskan. Takut nanti dia dah besar tak mahu pula. Lagipun sekarang dah ramai ibu bapa sunatkan anak awal, usia lima tahun pun saya risau dah terlewat,” katanya.

Mohd Yusoff yang merupakan seorang guru berkata, penyertaan anaknya semalam sangat berbaloi apabila bayaran berkhatan bukan saja murah, malah anaknya didaftarkan secara percuma sebagai ahli Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

“Saya dapat tahu program ini dari seorang rakan. Dia cakap yuran penyertaan hanya RM50. Kalau khatan di luar, memang mahal beratus ringgit. Sebab tu saya nak anak turut serta, lagi pula anak memang teruja.

“Tapi bila sampai sini, rupanya RM20 dari yuran penyertaan itu sebenarnya akan dimasukkan dalam akaun SSPN, secara tak langsung anak saya dah ada simpanan di situ. Jadi, bagi saya hari ni semua peserta sangat bertuah,” katanya.

Sementara itu, majlis berkhatan beramai-ramai semalam dirasmikan Penasihat Gerakan Prihatin Ransangan Setiakawan Malaysia, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrasyid yang juga Pengerusi Majlis Khidmat Negara.

Seramai 42 peserta terdiri daripada kanak-kanak dari kawasan berdekatan berusia lima hingga 10 tahun dikhatankan dengan dibantu empat pegawai perubatan.

Lebih meriah, kanak-kanak tersebut diarak dengan paluan kompang dan turut disembur pancutan air oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil.

Bagi menghilangkan rasa gementar, pihak penganjur turut membawa mereka menaiki kereta kuda mengelilingi kawasan padang di Taman Mini Malaysia, selain bebas bermain permainan kereta, basikal dan juga kasut roda yang disediakan sementara menunggu giliran untuk dikhatankan.


0 comments:

share2