Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 12, 2016

TEMBAK-MENEMBAK ANGKARA DENDAM LAMA CURI MOTOR


Tembak-menembak angkara dendam lama curi motor


Bukit Selambau - Tiga suspek diberkas manakala seorang lagi masih bebas sementara seorang mangsa yang diikat serta lebam akibat dipukul ditemui dalam kejadian kejar mengejar dan berbalas tembakan dekat Bukit Selambau awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Saifi Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku apabila polis menerima makluman awal dari seorang pengadu mengatakan ada kes pergaduhan dan melepaskan tembakan.

Menurutnya, pada jam 4.30 pagi anggota Task Force Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda menerima panggilan pengadu yang mengatakan berlaku pergaduhan selain memberitahu dia dan rakannya telah dipukul oleh sekumpulan lelaki.

"Pengadu telah berjaya melarikan diri dan semasa melarikan diri pengadu dikatakan ada terdengar bunyi tembakan ke arahnya tetapi tidak kena.

"Pengadu kemudian telah minta bantuan dari pihak polis untuk selamatkan salah seorang rakannya yang telah dibawa lari oleh suspek.

"Pada jam 5.15 pagi sepasukan pegawai dan anggota sampai ke lokasi dan telah berjumpa pengadu di lokasi dan sahkan suspek ysng terlibat dikenalpasti sebagai "man askar" yang telah menembak pengadu," katanya.

Katanya, atas maklumat yang diterima, polis terserempak dan menghampiri dua buah kereta jenis Naza Ria dan Proton Wira Aeroback yang disyaki dipandu oleh suspek.

Suspek yang menyedari kehadiran polis terus memecut melarikan diri.

"Semasa dalam situasi kejar mengejar dua das tembakan telah dilepaskan oleh suspek dari dalam kereta Naza Ria.

"Polis telah membalas tembakan dan melepaskan tembakan ke arah tayar Naza Ria di hadapan stesyen minyak Buraq Oil Pekan Bukit Selambau.

"Sampai di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Selambau, kenderaan Naza Ria telah terbabas ke kiri jalan dan empat suspek cuba melarikan diri.

"Polis telah berjaya menahan dua suspek selepas berlaku pergelutan manakala seorang lagi ditahan di pekan Bukit Selambau," katanya.

Beliau menjelaskan, pemeriksaan awal dalam kereta telah menjumpai seorang lagi mangsa iaitu rakan pengadu dalam keadaan terikat dan lebam akibat dipukul.

Bagaimanapun, semakan ke atas kereta jenis Naza Ria mendapati nombor enjin dan casis telah dicanai.

Turut ditemui tiga bilah parang, tiga batang rotan, sebilah pisau, peralatan pecah rumah,

peralatan hisap dadah dan alat suntikan pelali dipercayai untuk mencuri lembu.

Motif awal kejadian dipercayai akibat dendam lama antara pengadu, rakan pengadu (mangsa yang diikat) dengan suspek kerana suspek menuduh pengadu dan rakan pengadu ada mencuri motor suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 PLB, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 363 Kanun Keseksaan , Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya.


0 comments:

share2