Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 12, 2016

[KUANTAN] BUDAK DITEMUI LEMAS DALAM KOLAM


Budak ditemui lemas dalam kolam


Seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas di sebuah kolam renang dewasa di sebuah resort di Cherating di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa berusia empat tahun dan keluarganya yang berasal dari Kuala Terengganu itu sedang bercuti di resort terbabit.

Wan Muhammad Arfan Wan Mohd Faizul dikatakan keluar dari bilik secara senyap dan tanpa pengetahuan ibu bapanya dan dipercayai pergi ke kolam berkenaan untuk bermain.

Difahamkan, jarak antara pintu bilik dengan kolam hanya kira-kira tiga meter.

Bapa mangsa, Wan Mohd Faizul Wan Saberi, 34, berkata, selepas menyedari anaknya tiada dalam bilik, dia bergegas mencari kanak-kanak itu di bilik bersebelahan dihuni adik iparnya.

Katanya, bagaimanapun, anak sulungnya itu tiada di situ, menyebabkan dia mencari di beberapa lokasi di sekitar resort hingga pantai berhampiran.

“Waktu itu, hati saya tak sedap, saya mula cari Arfan di tempat letak kereta, kemudian tepi pantai dan cari dia sejauh dua kilometer, tapi tak jumpa.

“Saya buntu dan segera kembali ke resort. Tiba-tiba isteri saya beritahu ada nampak selipar Arfan terapung di kolam dewasa, saya terus hampiri kolam itu dan ternyata anak saya lemas,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Menurutnya, ramai orang mandi di kolam berkenaan namun tidak menyedari kehadiran anaknya kerana pakaiannya seakan sama dengan warna lantai kolam itu.

“Anak saya pakai baju warna biru muda, sebab itu orang tak perasan,” katanya.

Wan Mohd Faizul berkata, selepas anaknya diangkat, seorang jururawat memberikan bantuan pernafasan sebelum Wan Muhammad Arfan dibawa ke klinik swasta di Balok.

Katanya, bagaimanapun, anak lelakinya itu gagal diselamatkan dan doktor mengesahkan dia meninggal dunia.

Susulan kejadian itu satu laporan dibuat di Balai Polis Beserah pada jam 9.06 malam, kelmarin

Jenazah mangsa dibawa ke Ajil, Terengganu dan dikebumikan sekitar jam 11 pagi, semalam.


0 comments:

share2