Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 28, 2016

TAMBAH CCTV DI KAWASAN TUMPUAN PELANCONG


Melaka


Melaka - Kerajaan Melaka akan menambah jumlah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) terutama di kawasan tumpuan pelancong bagi mengekang kegiatan jenayah terutama curi, ragut dan rompak.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Ismail Othman berkata usaha berkenaan dilaksanakan secara berperingkat mengikut bajet dan perancangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

"Buat masa ini sebanyak 76 CCTV telah dipasang di sekitar negeri ini. Kita akan memanggil empat PBT yang ada untuk melihat keperluan memasang atau menambah bilangan CCTV di kawasan mereka.

"Kalau boleh kita hendak jumlah ini ditambah tiga kali ganda tetapi perlu lihat pada bajet. CCTV sangat penting dan membantu sekiranya berlaku kejadian jenayah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'Modern Crime Prevention Strategy and Technology Expo' di sini hari ini.

Melaka mempunyai empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Perbandaran Alor Gajah.

Mengulas lanjut, Ismail berkata berdasarkan rekod, semua CCTV yang terdapat di negeri itu berfungsi dengan baik cuma ada sebahagian kecilnya dilindungi pokok terutama di kawasan MBMB.

"Saya telah minta Datuk Bandar MBMB untuk memastikan perkara ini diselesaikan segera agar tiada sebarang gangguan supaya CCTV ini dapat beroperasi dengan baik," katanya.


0 comments:

share2