Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 16, 2016

HENTI KEKEJAMAN, VIRALKAN #StandUp4Syria


Irmohizam Ibrahim


Shah Alam - Majlis Belia Selangor (MBS) menyarankan agar satu pelan tindakan yang komprehensif dapat digerakkan bagi mengembalikan keamanan untuk rakyat Syria, yang kini berhadapan dengan siri pembunuhan beramai-ramai.

Presidennya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya juga menggesa supaya bantuan kemanusiaan seperti rawatan kecemasan dan kesihatan, bantuan makanan dan air bersih dapat disampaikan, selain jaminan untuk mereka yang terkepung agar dapat keluar dengan selamat.

"MBS mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan juga pembantaian berterusan rakyat Syria yang tidak berdosa; yang dilakukan oleh rejim Bashar Al Assad dan sekutunya.

"Konflik di Syria yang memasuki tahun keenam ini seharusnya dihentikan bagi mengelak lebih ramai mereka yang tidak berdosa terkorban dan merana," katanya dalam satu kenyataan medianya semalam.

Dalam pada itu, katanya MBS juga menggesa segenap lapisan masyarakat agar cakna dan prihatin dengan isu kemanusiaan khususnya di Syria, dengan menyalurkan bantuan kemanusiaan menerusi badan-badan yang sah; di samping menghindar daripada terjebak dengan golongan ekstremis seperti Daesh dan lain-lain khususnya daripada menular ke pemikiran generasi muda Malaysia.

"Kami juga akan menjalankan kerjasama dengan NGO seperti Malaysian Life Line for Syria (MLLFS) bagi menjalankan kempen penerangan dan kesedaran krisis kemanusiaan di Syria kepada orang ramai khususnya kelompok belia.

"‘Hashtag’ seperti #StandUp4Syria #StandWithAleppo #AleppoIsBurning juga boleh disebarluaskan di media-media sosial, bagi menyuburkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terbanyak," katanya.

Dalam pada itu ujarnya lagi, besar harapan MBS supaya Wisma Putra dapat mengusulkan kepada Majlis Keselamatan PBB bagi menghentikan segala kezaliman yang berlaku.

Terdahulu, keadaan semasa di Syria kini dilaporkan berada dalam keadaan sangat dahsyat terutamanya di Aleppo.

Dilaporkan sukarelawan kemanusiaan di Aleppo merayu bantuan selepas melaporkan askar rejim Bashar al-Assad membunuh mereka yang dituduh mempunyai kaitan dengan Free Syrian Army.

Laporan CNN mengatakan mereka yang dibunuh termasuklah kanak-kanak dan wanita, kata aktivis Mohammad Basbous di Aleppo Media Center semalam.

"Setiap jam, hukuman bunuh dijalankan," kata Syrian Observatory for Human Rights pula.

Laporan pembunuhan tersebut muncul selepas tentera rejim dan Rusia berjaya menawan kembali Aleppo dari tangan pemberontak dan pejuang Sunni.


0 comments:

share2