Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 2, 2016

TUBUH PANEL NILAI KES


Tubuh panel nilai kes


Shah Alam - Kementerian Kesihatan menubuhkan panel yang dianggotai oleh lapan pakar skoliosis dan neuro bagi membuat penilaian terhadap remaja yang menghidapi penyakit tulang belakang bengkok akibat tumor (skoliosis), Adam Akbar Ali, 14.

Bapa remaja berkenaan, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu daripada Pejabat Perdana Menteri, kelmarin.

“Penilaian akan dibuat oleh panel berkenaan pada 9 November ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan doktor yang merawat Adam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum ini akan membentang kes ini,” katanya.

Menurutnya, laporan daripada panel tersebut akan dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri untuk tindakan selanjutnya, termasuklah rayuan bantuan dana yang dipohon pihaknya bagi menampung pembiayaan pembedahan Adam di Hospital Johns Hopkins, Amerika Syarikat.

“Sepatutnya tarikh pembedahan dijadualkan pada Khamis ini, namun kami telah menghubungi Hospital Johns Hopkins untuk menangguhkannya dan merayu agar tarikh baharu ditetapkan pada bulan ini juga.

“Saya harap semua perkara diselesaikan segera memandangkan Adam memerlukan pembedahan segera,” katanya.

Menceritakan keadaan terkini Adam, Akbar berkata, anaknya telah dirujuk ke wad kecemasan PPUM pada Sabtu lalu selepas diserang kesakitan kronik pada kaki kanan.

“Adam mula mengadu sakit pada Jumaat, kemudian kami beri ubat tahan sakit dan memantaunya.

“Pada awal pagi Sabtu, kami terus membawanya ke hospital selepas melihat dia tidak mampu menahan kesakitan yang dialaminya, sebelum dia dibenarkan keluar pada jam 7 pagi, hari yang sama,” katanya.


0 comments:

share2