Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 16, 2016

TERKILAN TAK DAPAT KONGSI KEJAYAAN DENGAN BAPA


Terkilan tak dapat kongsi kejayaan dengan bapa


Segamat - Penerima Anugerah Graduan Terbaik Khas pada Istiadat Konvokesyen Ke-85 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor, di sini, terkilan kerana tidak dapat berkongsi kejayaannya dengan bapanya yang meninggal dunia tujuh tahun lalu.

Mohammad Zarris Akhmar Zakaria, 24, berkata, kejayaan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Kewangan itu pasti akan lebih bermakna jika dapat berkongsi dengan Allahyarham bapanya.

“Bapa saya meninggal dunia secara mengejut ketika saya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2009 dan ini membuatkan saya berazam untuk memburu kejayaan dalam akademik.

“Sebagai anak lelaki tunggal daripada tiga beradik, ketiadaan bapa membuatkan saya lebih berdikari. Saya akan bekerja sambilan setiap kali cuti semester untuk mencari wang saku,” katanya kepada Sinar Harian.

Akuinya, dia pernah bekerja sebagai tukang sapu di sekolah dan melakukan pelbagai pekerjaan lain kerana tidak mahu membebankan ibunya memandangkan kakak dan adiknya juga sedang belajar di institusi pengajian tinggi awam.

Menurutnya, kejayaan yang dicapainya juga adalah hasil galakan ibunya yang merupakan seorang pendidik selain dipengaruhi kejayaan kakaknya yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.

Sementara itu, bagi penerima Anugerah Graduan Terbaik Sarjana Muda, Johori Johan Cheah, 26, kejayaan yang diperolehnya hadir bersama tanggungjawab termasuk membawa nama baik UiTM di pasaran kerjaya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Perbankan Islam itu yang kini bekerja sebagai pengurus pemasaran di sebuah bank di Kuala Lumpur juga berazam untuk menyumbang kembali segala kebolehan yang dimilikinya kepada masyarakat.

Selain Mohammad Zarris Akhmar dan Johori, turut menerima Anugerah Graduan Terbaik (Diploma) ialah Arif Adam Mohd Nor, 21, dan Anugerah Graduan Terbaik (Kepimpinan), Luqman Hakiem Sulaiman, 21.


0 comments:

share2