Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 7, 2016

SIAPA SANGGUP GANTI ANNUAR?


Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail


Individu yang bercita-cita memimpin Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) perlu memikul tanggungjawab besar dengan membawa masuk dana besar bagi membiayai perbelanjaan The Red Warriors dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail berpandangan, sesiapa sahaja boleh mengambil alih tampuk kepimpinan badan induk itu asalkan mempunyai kredibiliti, tahu selok-belok urus tadbir bola sepak dan mampu menarik lebih banyak penaja untuk menyuntik kewangan kepada pasukan utama itu. 

Menurutnya, ini kerana, Kafa memerlukan dana sekurang-kurangnya RM15 juta untuk setiap musim bagi membolehkan skuad pantai timur itu kekal bersaing secara kompetitif dalam liga domestik tersebut.

“Saya tidak menidakkan hasrat Tan Sri (Annuar Musa) untuk melepaskan jawatannya dan memperkecilkan kenyataan sesetengah kelab-kelab penyokong atau pihak tertentu yang mahu beliau berbuat demikian.

“Persoalannya, siapa yang sanggup? Itu sahaja. Kalau ada (calon berkelayakan) tak apa, tetapi (kalau tiada) sanggup ke kita nak tengok pasukan Kelantan tak main bola musim depan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pada 5 November lalu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa membayangkan mahu mengundur diri setelah mengaku tidak lagi berupaya memimpin bola sepak Kelantan dan pendirian awalnya itu dihormati segelintir kelab penyokong. 

Rosmadi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan negeri menegaskan, beliau tidak berniat mempertahankan hasrat ‘bosnya’ itu sebaliknya mahu peminat memahami situasi sebenar berhubung kemelut kewangan yang melanda Kelantan, ketika ini.

“Kalau anda (wartawan) tanya saya (mahu jadi presiden), belum tentu saya jawab setuju kerana saya sendiri tidak mampu urus bola Kelantan. Semua orang boleh beri komen dan saya hormati setiap pandangan tetapi kalau kita bercakap ikut emosi, memang senang nak suruh orang berhenti (lepaskan jawatan).

“Masa kian suntuk, semua persatuan sedang persiapkan pasukan masing-masing. Tarikh tutup pendaftaran pasukan hujung Disember depan, sekiranya ada peralihan kuasa, mungkin akan memakan masa dan memberi kesan kepada pembentukan pasukan,” katanya.

Tambahnya lagi, mengendalikan pasukan Kelantan kini seumpama menunaikan tanggungjawab sosial cukup berat, sedangkan pendapatan yang diterima tidak seberapa malah kantung persatuan sering mengalami defisit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Urus pasukan bola masa kini jauh berbeza berbanding 15 tahun lalu. Saya berada dalam Kafa sejak tahun 2000 lagi dan sudah lalui banyak era (perubahan). Sekarang kendali pasukan bola sangat kompetitif kerana kosnya semakin meningkat setiap tahun," katanya.


0 comments:

share2