Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 18, 2016

PILIHAN RAYA PENENTU, BUKAN DEMONSTRASI JALANAN


Himpunan Bersih


Melaka - "Rakyat negara ini perlu menggunakan pilihan raya, bukannya demonstrasi jalanan, untuk menentukan hala tuju dan pemimpin negara," kata Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Justeru, beliau meminta rakyat tidak menyertai perhimpunan Bersih 5.0 yang dijadualkan esok kerana ia bakal mengundang pelbagai kesan negatif dan menjejaskan keamanan serta keselamatan masyarakat.

"Rakyat Malaysia jangan terikut-ikut cara Bersih yang tidak bersih itu. Kita harap rakyat tidak keliru dan tidak perlu menyokong perhimpunan tersebut, biarlah cara memilih kerajaan ini dibuat secara peti undi, bukannya melalui demonstrasi.

"Lagipun pilihan raya umum tidak lama lagi. Sebelum ini kumpulan Bersih terbalikkan kereta, pijak gambar pemimpin, menghina raja dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Konvensyen DMDI Ke-17 oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di sini hari ini.

Mohd Ali berkata, perhimpunan itu juga tidak relevan kerana disertai kumpulan minoriti yang bergerak demi kepentingan sendiri serta parti politik seperti DAP serta PKR dan ia tidak mewakili rakyat negara ini.

Menurutnya, kumpulan itu juga harus memilih lokasi yang lebih sesuai bagi mengadakan perhimpunan berkenaan kerana Dataran Merdeka adalah tempat awam dan perhimpunan tersebut dikhuatiri akan menimbulkan provokasi.

Mohd Ali juga meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak melibatkan diri dengan perhimpunan tersebut kerana beliau dipergunakan pihak berkepentingan dalam perhimpunan berkenaan.

"Sebagai seorang negarawan, Tun Dr Mahathir tak payahlah sokong Bersih kerana ia akan mengundang lebih banyak kritikan dan menjejaskan kredibilitinya seperti yang berlaku tahun lepas apabila beliau menyertai perhimpunan itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta pihak berwajib menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan penganjur perhimpunan tersebut menerima dana luar yang dikaitkan dengan jutawan George Soros kerana perbuatan berkenaan bertentangan dengan kepentingan negara.


0 comments:

share2