Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 18, 2016

DAKWAAN TERHADAP TABUNG HAJI BERBAUR POLITIK


Tabung Haji


Kuala Lumpur - Lembaga Tabung Haji (TH) menyifatkan dakwaan berterusan sesetengah pihak terhadapnya adalah berbaur politik.

Menurut TH, dakwaan yang mengaitkan cabaran perniagaan yang dihadapi TH Heavy Engineering (THHE) kepada penahanan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat itu adalah untuk mengelirukan masyarakat.

"Isu penahanan ini berdasarkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM)tentang tuduhan salah laku individu. THHE adalah salah sebuah daripada syarikat pelaburan TH yang tersenarai di Bursa Malaysia.

"Oleh itu, ia mempunyai lembaga pengarah dan struktur tadbir urus tersendiri. THHE juga telah mengedarkan kenyataan akhbar bagi menekankan bahawa syarikat akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan," menurut TH dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyataan itu TH turut menjelaskan cabaran perniagaan yang dihadapi THHE berpunca daripada kejatuhan harga minyak mentah global sejak 2014 yang memberi impak kepada industri minyak dan gas Malaysia serta keadaan ekonomi dunia.

Selain itu, ia turut memberi impak kepada aktiviti cari gali serta pengeluaran minyak dan gas sekali gus membawa kesan negatif kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri itu secara keseluruhan.

"Banyak syarikat terpaksa berhadapan dengan realiti pengecilan, pemotongan kos dan penstrukturan semula aktiviti utama syarikat.

"Seperti yang dihadapi kebanyakan syarikat dalam industri ini, kejatuhan harga minyak mentah dan ramalan keadaan sektor yang kurang memberangsangkan telah memberi tekanan kepada kewangan THHE serta kesan kepada perniagaannya," menurut kenyataan itu.

TH juga menegaskan pihaknya mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa untuk membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang dan penyalahgunaan kuasa bagi memastikan ketelusan, akauntibiliti, integriti serta amalan perniagaan yang baik kekal sebagai kriteria penting dalam tadbir urus korporatnya.

Sebagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, ia tidak akan berkompromi dan mengambil langkah sewajarnya dalam membendung sebarang perlakuan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"TH sentiasa memberi fokus kepada prestasi terbaik dalam perniagaan dan pelaburannya, berlandaskan syariah demi kepentingan pendepositnya.

"Hala tuju pelaburan TH adalah berdasarkan polisi Alokasi Aset Strategik. Setiap aktiviti pelaburan akan melalui proses penilaian yang tegar termasuk proses kelulusan," menurut kenyataan itu.


0 comments:

share2