Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 19, 2016

PERHIMPUNAN BERSIH 5 BOLEH UNDANG MALAPETAKA


Majlis Profesor Negara (MPN)


Langkawi - Majlis Profesor Negara (MPN) menyifatkan penganjuran perhimpunan Bersih 5.0 di ibu negara boleh mengundang malapetaka kepada negara dan rakyat mesti menolaknya.

Pengerusinya, Prof Tan Sri Dr Zakri Hamid berkata, sebaliknya rakyat perlu menyalurkan usaha dan kebijaksanaan masing-masing dalam membantu memulihkan ekonomi negara ekoran keadaan ekonomi dunia yang mencabar sekarang.

"Perhimpunan (Bersih 5.0) ini tidak menguntungkan rakyat dan negara," katanya dalam sidang media bersempena Mesyuarat Penyelarasan MPN yang dihadiri kira-kira 70 anggota majlis itu di sini, semalam.

Katanya pendirian MPN itu dibuat atas kesedaran bahawa negara sudah ada sistem pilihan raya dan pemerintahan yang membolehkan rakyat menyuarakan pendapat mereka tanpa perlu menyertai demonstrasi jalanan.

"Demonstrasi jalanan ini banyak buruk daripada baiknya. Walaupun sudah ada Bersih 1, 2, 3, 4 dan sekarang Bersih 5, kita tidak nampak perkara (demonstrasi jalanan) itu mampu mengubah apa-apa pun di negara ini," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Ros berkata MPN juga mengambil pendirian yang sama terhadap kumpulan lain yang cuba mengadakan perhimpunan untuk menentang Bersih 5.0.

"Kumpulan yang menggunakan warna apa sekalipun, kuning, merah, yang lain-lain pun tidak harus menggadaikan keamanan dan kemakmuran negara dengan cara yang sedemikian (demonstrasi jalanan)," katanya.

Menurutnya MPN tidak condong ke arah mana-mana fahaman politik berhubung pendirian itu kerana ia hanya mengutamakan kepentingan dan keamanan negara.

"MPN tidak berminat melihat perkara ini dari sudut politik. Kita melihat perkara-perkara (demonstrasi jalanan) sebegini akan memberi kesan (buruk) kepada negara," katanya.


0 comments:

share2