Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 3, 2016

[MARAN] JANGAN POLITIKKAN BANTUAN RIBUT


Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib


Orang ramai diminta supaya tidak mempolitikkan pemberian bantuan dan sumbangan kepada mangsa ribut Kuala Sentol, baru-baru ini, sebaliknya bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, sepatutnya semua pihak tanpa mengira agama dan fahaman politik bersama-sama tampil memberi bantuan yang termampu bagi meringankan beban ditanggung mangsa ribut.

Katanya, tidak sesuai menyalahkan, memburukkan atau menampakkan kelemahan mana-mana pihak semasa berada dalam keadaan terdesak termasuk ketika sesebuah kawasan dilanda bencana seperti kejadian ribut baru-baru ini.

"Tidak sesuai menuding jari dan mencari kesilapan pihak yang menghulurkan bantuan. Bahkan ada pihak memperlekehkan bantuan diberikan kerajaan dengan mengatakan ia tidak setimpal dengan kerugian dialami mangsa ribut.

"Sepatutnya dalam apa juga kejadian yang menimpa penduduk, kita perlu tampil memberikan apa juga bentuk bantuan dan sumbangan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, sikap menuding jari dan mempolitikkan pemberian bantuan tidak seharusnya berlaku sedangkan pihak yang mempertikaikan perkara itu sekadar berpeluk tubuh dan tidak memberikan sebarang bantuan atau sumbangan.

Menurutnya, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat terutamanya mangsa ribut atau bencana lain dan akan menghulurkan bantuan, termasuk mempertimbangkan bantuan membina rumah baharu secepat mungkin sekiranya berlaku kemusnahan kediaman akibat bencana.

"Bantuan diberikan oleh kerajaan serta wakil rakyat adalah berpandukan senarai didaftarkan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.


0 comments:

share2