Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 14, 2016

[KERATONG] ADIK CARI KAKAK TERPUTUS HUBUNGAN SEJAK 10 TAHUN


Adik cari kakak terputus hubungan sejak 10 tahun


Benar bak kata pepatah air dicincang tidak akan putus, begitulah seorang penduduk Felda Keratong 7, di sini, yang mahu mencari kakaknya yang telah terputus hubungan sejak 10 tahun lalu.

Nor Adila Ahmad, 24, berkata, bapanya, Ahmad Kasa, 62, telah meninggal dunia baru-baru ini dan emaknya, Che Piah Din, 62, begitu merindui kakaknya, Nor Suriya Ahmad, 35, serta mahu dia bersama anak-anaknya pulang ke rumah.

Menurutnya, anak ketiga daripada tujuh beradik itu telah berkahwin dengan suaminya di sempadan Thailand dan mempunyai dua anak serta tinggal di Seremban namun kerap berpindah-randah menjadikan dia sekeluarga sukar dikesan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada emaknya, suami kakaknya itu berasal dari Sabah bernama Hendry Wenceslos manakala hasil cariannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Segamat, Johor, baru-baru ini mendapati beliau sudah meninggal dunia di Hospital Tawau, Sabah, pada 2007.

“Emak tidak restu perkahwinan mereka sebab tidak kenal suaminya itu namun selepas kahwin mereka ada balik bersama dua anak dan emak telah mula menerima mereka. Ketika itu kami diberitahu mereka tinggal di Seremban.

“Kami pernah pergi ke rumah mereka namun kali kedua kami ke sana, mereka sudah berpindah dan tiada maklumat berkaitan tempat tinggal baharu. Pada 2006 mereka ada balik beraya dan selepas itu terus hilang tanpa khabar berita hingga kini,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Nor Adila berkata, hasil carian di JPN Segamat turut mendapati kakaknya itu masih tidak mengemaskini kad pengenalannya dan rekod turut memaparkan dua anaknya itu namun hanya ada nombor surat beranak tetapi tiada kad pengenalan.

Menurutnya, beliau kini buntu untuk mencari kakaknya itu yang kemungkinan berada di Sabah berdasarkan lokasi suaminya meninggal dunia selain menaruh harapan tinggi agar dapat bertemu kembali.

“Saya merayu kepada kakak supaya pulang kepada kami dan meminta kepada sesiapa yang mengenalinya agar menyalurkan maklumat dengan menghubungi saya di talian 016-9362075. Kepulangan kakak tentu akan menggembirakan emak dan ahli keluarga lain,” katanya.


0 comments:

share2