Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 7, 2016

[JERANTUT] LUBANG BESAR ANCAM NYAWA


Lubang besar ancam nyawa


Penduduk Kampung Damak, Som, Ulu Cheka dan sekitarnya berasa gusar melihat lubang sedalam kira-kira dua meter yang dikatakan mula wujud di laluan Jerantut-Benta atau dikenali sebagai jalan Kenong sejak kira-kia dua bulan lalu.

Menurut pengguna jalan tersebut, sejak kewujudan lubang tersebut, dua kemalangan pernah berlaku di situ dan hampir meragut nyawa pengguna jalan berkenaan.

Penduduk, Abu Samah Mat Dahan, 56, berkata, kerosakan jalan itu sememangnya mendatangkan masalah kepada penduduk di kawasan sekitar dan dia meminta pihak berwajib membaikinya dengan segera kerana keadaannya sangat berbahaya.

"Dua kemalangan yang berlaku sejak adanya lubang itu membabitkan penduduk di kampung saya yang mana kedua-duanya dikatakan terbabas ke dalam sungai bersebelahan jalan ini akibat mengelak lubang itu.

"Walaupun sudah diletakkan pita keselamatan dan papan tanda amaran, tapi lubang itu terlalu besar dan kedudukannya di selekoh jalan memang mendatangkan bahaya kepada pengguna," katanya.

Abu Samah berharap pihak kerajaan negeri dan pusat mengambil tahu masalah berkenaan dan mencari jalan penyelesaian segera demi keselamatan orang ramai.

Seorang lagi penduduk, Maarof Mohamad, 74, mempersoalkan kenapa kerosakan jalan itu tidak dibaik pulih sehingga kini walaupun pihak berkenaan didakwa berjanji untuk memastikan keadaan jalan di daerah ini serta seluruh negara bebas daripada masalah jalan berlubang.

"Kami tak faham kenapa jalan berlubang ini tak dibaiki. ini bukan lubang biasa dan sudah banyak kereta, lori sawit serta kenderaan berat lain yang melalui jalan ini hampir terbabas dan terbalik kerana mengelak lubang itu.

"Jalan ini sentiasa mengalami kerosakan, namun kali ini keadaannya lebih teruk berbanding sebelum ini," katanya.


0 comments:

share2