Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 7, 2016

'CHINA NAK MELABUR, APA SALAHNYA...'


Mohd Isa Abdul Samad


Port Dickson - “Pedagang China lebih baik daripada pedagang dari Eropah. Mereka (pedagang China) datang berdagang ke Melaka (1403) tak pernah pun takluk Melaka, yang takluk adalah mereka yang dari Eropah...British, Portugis dan Belanda.

“Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) pernah cakap macam tu, dan memang betul pun... tapi sekarang kenapa bila PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) pergi China, timbul viral kata kita nak jual negara ke China.

“Orang Malaysia suka sangat berpolitik, isu yang tidak sepatutnya juga dipolitikkan dan dijadikan isu,” kata Ketua Umno Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad ketika berucap pada Karnival Kemas4U Peringkat Negeri Sembilan di Pantai Bagan Pinang kelmarin.

Hadir sama Pengarah Kemas negeri, Ali Hanafiah Abu Hassan.

Beliau yang juga Pengerusi Felda berkata, tujuan Malaysia bekerjasama dengan China kerana negara itu adalah salah satu kuasa besar ekonomi dunia.

“Dulu Amerika Syarikat, dan masa kita (Malaysia) terima pelaburan daripada kuasa besar ekonomi itu, dah berpuluh tahun tak ada pun negara kita tergadai, terjual dengan Amerika malah kita mampu membangun dengan pesat.

“Hari ini kuasa ekonomi besar yang baru, China nak melabur (di Malaysia) apa salahnya. Banyak pelaburan yang datang, banyaklah wujud peluang pekerjaan dan ekonomi kita akan bertambah baik.

“Tapi kalau kita takut dengan pelaburan itu, kitalah yang rugi. Dari aspek pelancongan juga, pelancong China dah ramai yang datang ke Malaysia dan menjana ekonomi kita, kalau kita tutup pelaburan dengan China, kita rugi, pelancong mereka juga tak nak dah datang sini,” katanya.

Mohd Isa berkata, ekonomi dunia sekarang sedang terjejas, sekali gus menyebabkan negara turut terkena tempiasnya.

“Tapi kerajaan ada cara untuk mengawalnya. Kegawatan ekonomi pada tahun 1983 hingga 1990, kita susah tapi kerajaan dapat menguruskannya dengan baik, begitu juga semasa krisis kewangan Asia 1997 hingga 2001.

“Memang susah nak kawal kewangan, tapi kerajaan berjaya bertahan dan negara tak muflis.

“Situasi hari ini, ada pihak yang menjangkakan, November negara akan muflis. Sekarang dah November dan perkara itu tak berlaku, kerajaan masih mampu bayar gaji pekerja serta projek masih berjalan,” katanya.

Tambahnya, kejayaan Malaysia berjaya mempertahankan ekonomi hasil urus tadbir pemimpin dan kerajaan yang baik.

“Suasana masyarakat yang harmoni dan bersatu padu juga menyumbang kepada kejayaan kita mempertahankan ekonomi sehingga hari ini. Walaupun ada Bersih (demonstrasi), kita tetap dapat pertahankan ekonomi malah masih berjaya mencapai pertumbuhan ekonomi.

“Tapi kita tak boleh buat perangai. Huru-harakan keadaan nanti kita yang susah, pelancong takut nak datang begitu juga dengan pelabur.

“Macam masa kejadian virus nipah (1999), jadi hura-hara dan sektor pelancongan terjejas teruk walaupun lokasi wabak jauh dari pantai Port Dickson. Itu telah mendatangkan rasa takut kepada pelancong," katanya.

Beliau berharap rakyat tidak mudah percaya dengan apa yang viral di media sosial.

“Bila dah lekat di pemikiran kita, nak dibetulkan semula dah susah dan kita jangan terjebak dengan unsur yang boleh menghuru-harakan negara,” katanya.


0 comments:

share2