Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 17, 2016

[JERANTUT] HAYATI PERJUANGAN MAT KILAU


Hayati perjuangan Mat Kilau


Busana Melayu tradisional mendekatkan lagi sekumpulan 19 penuntut dan empat pensyarah bidang akuakultur Kolej Komuniti Jerantut (KKJ) dengan sejarah perjuangan pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau Imam Rasu.

Kumpulan pelajar dan pensyarah itu menyertai program lawatan sambil belajar menerusi Program Kembara Semarak Perjuangan Mat Kilau anjuran pihak pengurusan KKJ di Kampung Pulau Tawar, di sini kelmarin.

Penuntut dibawa melawat Makam Pahlawan Mat Kilau di Kampung Kedondong, juga mengunjungi gua bersejarah di Kota Gelanggi dan Galeri Mat Kilau di Kampung Bukit Rang.

Penuntut turut bergotong-royong membersihkan sekitar kawasan Makam Pahlawan Mat Kilau dan mengadakan tahlil untuk memohon kerahmatan berpanjangan bagi mengenang perjuangan murninya yang mengangkat senjata untuk menentang kolonial British pada awal 1890-an.

Rombongan berkenaan turut berkesempatan menyertai eksplorasi Gua Balai dan Gua Tongkat, iaitu antara gua yang pernah didiami manusia prasejarah di zaman 'hoabinhian', juga tempat penemuan artifak peninggalan dari zaman itu.

Destinasi terakhir adalah Galeri Mat Kilau yang mana penuntut berpeluang menghayati sejarah perjuangan tokoh berkenaan berpandukan bahan pameran seperti keratan akhbar, buku sejarah, gambar pendokumentasian naskhah sejarah bertulisan jawi, tayangan slaid dan diorama.

Pengarah Program Kembara Semarak Perjuangan Mat Kilau, Nur Liyana Rusli berkata, program itu merupakan inisiatif Unit Pengajian Am KKJ dalam kerangka menyemai semangat cintakan negara bangsa.

"Pemilihan Kampung Pulau Tawar, khususnya lokasi kelahiran Mat Kilau dalam kembara ini adalah kerana beliau merupakan tokoh tempatan yang tersohor dalam sejarah Pahang.

"Kita beri peluang penuntut semester satu bidang akuakultur mendalami serta menghayati perjuangan Mat Kilau yang banyak berjasa, khususnya ketika menentang kolonial British di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah KKJ, Siti Masliza Mohd Nawi berkata, program julung kali diadakan itu cukup signifikan dengan usaha menitip pengetahuan penuntut KKJ mengenai sejarah tempatan dan tokoh pejuang sebelum merdeka.

"Kunjungan ke lokasi bersejarah ini dapat menyuntik kesedaran dan jati diri serta semangat patriotisme dalam kalangan penuntut melalui penghayatan sejarah kemerdekaan negara dan penghayatan perjuangan tokoh berkenaan.

"Pendekatan ini dapat menyemai nilai kasih sayang dan sikap saling menghormati dalam kalangan warga KKJ serta komuniti setempat berasaskan perspektif sejarah negara bangsa," katanya.

Penuntut KKJ, Asynawi Asyraf Azam Azhar, 19, mengakui teruja kerana berpeluang mengunjungi Makam Pahlawan Mat Kilau buat pertama kali dan menelusuri sejarah perjuangannya.

Katanya, lawatan ini cukup bermakna buat penuntut KKJ kerana mereka dapat memahami perjuangan sebenar Mat Kilau menerusi penceritaan yang disampaikan oleh cicit pahlawan Melayu itu.

"Lawatan ini membolehkan kami menghayati sejarah Pahang di samping mengenali dengan lebih dekat perkampungan tradisional Melayu pesisir Sungai Pahang. Pada masa sama, kami berpeluang mempromosikan bidang pengajian akuakultur, pemprosesan dan penyediaan makanan di KKJ," katanya.


0 comments:

share2