Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 18, 2016

GANGGUAN JIN SEBABKAN MASALAH PSIKO?


Gangguan jin sebabkan masalah psiko?


Jin ialah makhluk ALLAH SWT yang diciptakan ghaib. Sebagai orang Islam kepercayaan ini adalah teras dalam akidah sepertimana perkara ghaib seperti dosa, pahala, syurga dan neraka. Kepercayaan jin dalam masyarakat Melayu dikaitkan dengan kepercayaan tahyul, hantu, saka dan ilmu hitam (sihir).

Jin sepertimana syaitan memiliki sifat dan ciri-ciri yang akan memasuki tubuh manusia untuk mempengaruhi kepercayaan, cara berfikir, emosi dan juga personaliti seseorang. Perkara ini dinyatakan dalam al-Quran dan hadis perihal janjinya kepada ALLAH untuk memesongkan kepercayaan dan akidah manusia sehingga kiamat.

Persoalannya di sini adakah gangguan jin ini boleh menyebabkan masalah psiko spiritual dan fizikal kepada manusia. Persoalan seterusnya adakah gangguan ini juga boleh menyebabkan masalah perubatan seperti penyakit kronik dan gangguan jiwa serta emosi kepada pesakit.

Umumnya mengetahui penyakit perubatan berpunca daripada ketidakseimbangan dalam aspek bio-psiko spiritual dalam tubuh manusia. Ketidakstabilan mental contohnya stres boleh menyebabkan penyakit medikal yang kronik.

Kajian perubatan membuktikan pesakit mental dan gangguan jiwa boleh berpunca daripada gangguan jin ini. Dalam garis panduan diagnosis psikiatri ICD-10 (International Classification of Disease ) dan DSM-V (Diagnostic Statitiscal Manual) ada mengklasifikasikan penyakit personaliti berpunca daripada gangguan kuasa luar iaitu jin. 

Terdapat juga beberapa kes perubatan yang sukar untuk dikenal pasti punca dan diagnosis yang sebenar dikaitkan dengan unsur gangguan jin. Sebagai contoh beberapa kes seperti psychosomatic atau somatoform disorders. 

Segelintir masyarakat Melayu menaruh kepercayaan tinggi terhadap penyakit gangguan jin ini sehingga kebanyakan kes pesakit mental dan gangguan emosi dirujuk kepada pengamal pengubatan Islam. Amalan sihir, santau dan kepercayaan kepada bomoh tradisional juga masih menjadi sebahagian amalan dan dipergunakan untuk mencapai sesuatu hajat.

Fenomena kurang sihat ini mendedahkan masyarakat kepada penyimpangan akidah, unsur khurafat, kesan-kesan buruk dan mudarat kepada kesihatan dan juga penipuan. Kesan ini pada jangka masa panjang akan mengakibatkan penyakit perubatan yang kronik dan juga perpecahan masyarakat.

Persatuan Terapi Holistik Islam (THIS) berusaha untuk mempromosikan amalan pengubatan Islam yang sahih dengan ajaran Islam sebenar dan lebih penting kaedah rawatan ini diamalkan oleh pengamal yang bertauliah dan terlatih. THIS berhasrat untuk memartabatkan kaedah pengubatan Islam menjadi teras utama dalam bidang terapi perubatan komplementari dan alternatif. 

Pihak THIS mementingkan bukti secara saintifik ini direkod dan dibukukan untuk menjadi bahan kajian dan rujukan kepada pengamal pengubatan Islam di Malaysia.


0 comments:

share2