Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 19, 2016

[BENTONG] UCAPAN BERBAUR HASUTAN, NGO LAPOR POLIS


Ucapan berbaur hasutan, NGO lapor polis


Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Bentong hari ini membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa itu mengambil tindakan terhadap Adun Bilut, Chow Yu Hui yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam ceramahnya pada konvoi perhimpunan itu baru-baru ini.

Wakilnya, Ahmad Fauzuddin Ramli berkata, pihaknya ingin meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap Yu Hui yang telah memfitnah Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai, mengutuk pemimpin dan perdana menteri.

Menurutnya, Yu Hui telah mengeluarkan kata-kata seolah mengugut untuk membunuh dalam ceramahnya sewaktu roadshow Bersih.

“Dalam ceramah beliau, banyak hasutan dan cacian serta fitnah dilontarkan ke arah pemimpin-pemimpin yang telah diundi leh rakyat Bentong secara demokratik.

“Satu perkataan Cantonese “Doi Lam” yang bermaksud membunuh telah dilontarkan oleh Yu Hui dan selalunya ayat ini digunakan oleh gangster-gangster di Hong Kong.

“Kita nak tegaskan sebagai seorang Adun, janganlah gunakan perkataan seperti ini. Sebagai seorang wakil rakyat yang merupakan graduan universiti, saya rasa beliau boleh berfikir untuk berceramah dengan berhemah dan lebih sopan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Bentong, di sini.

Sementara itu, Ahmad Fauzuddin turut berkata, Bersih juga telah mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan konflik di Bentong.

“Bentong Walk merupakan inisiatif Ahli Parlimen Bentong untuk rakyat di daerah ini berniaga dan berinteraksi namun platform itu telah dipergunakan oleh kumpulan Bersih untuk propaganda fitnah mereka.

“Pendemo Bersih yang berkumpul di Bentong Walk ini kebanyakannya adalah bukan di kalangan orang tempatan, hanya segelintir sahaja masyarakat Bentong yang turun bersama," katanya.

Tambah beliau, perhimpunan ini telah menjejaskan nama baik Malaysia di mata dunia, semata-mata untuk mencapai objektif politik peribadi sesetengah individu selain tidak menghormati sistem demokrasi di negara ini.

“Jadi di sini, kami mempersoalkan kepada Yu Hui, mengapa habiskan masa berdemo dan mengajak orang menabur fitnah sedangkan kawasan yang dipimpin oleh beliau di Dun Lurah Bilut masih tiada nampak kesan positif yang dilakukan.

“Buatlah kerja Adun dan bukan kerja Bersih. Kalau kita ingin pertikaikan kerja, lihatlah pada cermin dulu,”katanya.

Beliau berharap agar pihak polis dapat menyiasat intipati ceramah Yu Hui kerana bahasa yang digunakan dalam ceramah sangat kesat.


0 comments:

share2