Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 18, 2016

BAYAR PTPTN UNTUK NIKMATI DISKAUN




ptptn


Selaras dengan pemberian insentif dalam Bajet 2017, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggalakkan peminjamnya merebut peluang keemasan membuat bayaran balik sepanjang tempoh bermula 22 Oktober 2016 hingga 31 Disember 2017.

Tawaran diskaun terhebat menanti para peminjam yang membuat bayaran balik dalam tempoh berkenaan.

Terdapat tiga insentif yang melibatkan bayaran balik pinjaman PTPTN sepanjang tempoh tersebut iaitu insentif diskaun 15 peratus diberikan kepada peminjam yang membuat penyelesaian penuh keseluruhan baki hutang pinjaman, insentif diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Selain itu, insentif diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit mengikut ansuran pada jadual bayaran balik yang ditetapkan.

Jadi, jangan lepaskan peluang!

Sejak penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada tahun 1997 sehingga kini, seramai 2.6 juta peminjam telah mendapat manfaat pinjaman pendidikan PTPTN dengan nilai keseluruhan sebanyak RM48 bilion.

Pinjaman yang diberi merupakan pinjaman yang patuh syariah yang dikenakan ujrah atau upah sebanyak satu peratus pada kadar rata.

Diakui bahawa PTPTN tidak asing lagi kepada mereka yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, tidak kira sama ada di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) mahupun institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

PTPTN sentiasa berusaha mencari pendekatan terbaik untuk membantu peminjam dan dalam masa yang sama memastikan tidak ada pelajar yang gagal ke menara gading atas sebab-sebab kewangan.

Aemua peminjam diharap dapat menunaikan tanggungjawab untuk membuat bayaran balik demi kesinambungan pinjaman untuk generasi akan datang.

Semasa pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober 2016, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan insentif bagi PTPTN.

Insentif yang diumumkan ini merupakan bukti keprihatinan kerajaan terhadap bidang pendidikan selaras dengan tema Bajet 2017 iaitu ‘Merancakkan Pertumbuhan, Memastikan Pengurusan Fiskal Berhemat, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat’.

Bagi peminjam PTPN inilah peluang keemasan untuk mereka mendapatkan pengurangan ke atas jumlah bayaran balik mereka.

Dalam Bajet 2017, ada tiga insentif yang melibatkan bayaran balik pinjaman PTPTN iaitu insentif diskaun 15 peratus diberikan kepada peminjam yang membuat penyelesaian penuh keseluruhan baki hutang pinjaman mulai 22 Oktober 2016 sehingga 31 Disember 2017.

Kedua, insentif diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan ketiga, insentif diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit mengikut ansuran pada jadual bayaran balik yang ditetapkan. Ketiga-tiga insentif ini berkuat kuasa pada 22 Oktober 2016 hingga 31 Disember 2017.

Diskaun 15 peratus diberikan kepada peminjam PTPTN yang membuat penyelesaian keseluruhan baki hutang pinjaman mulai 22 Oktober 2016 hingga 31 Disember 2017.

Perlu ditegaskan bahawa, terma penting bagi melayakkan peminjam untuk mendapat insentif ini ialah ‘penyelesaian keseluruhan baki hutang pinjaman’.

Selain itu, transaksi bayaran hendaklah diterima PTPTN dalam bulan yang sama. Oleh itu peminjam dinasihatkan membuat bayaran selewat-lewatnya 27 hari bulan setiap bulan.

Menariknya, diskaun ini juga layak dinikmati walaupun peminjam menggunakan pelbagai saluran bayaran. Maksudnya, sekiranya peminjam membuat penyelesaian bayaran melalui gabungan pelbagai saluran seperti KWSP, tunai dan dalam talian (online), peminjam tetap layak mendapat diskaun ini dengan syarat penyelesaian hutang pinjaman diterima dalam bulan yang sama.

Pemberian diskaun 15 peratus ini juga dikira berasaskan keseluruhan baki hutang pinjaman dan pelarasan diskaun pada penyata akan diberikan pada hujung bulan.

Bukan setakat itu sahaja, pemberian diskaun 15 peratus ini juga diberikan kepada penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) yang tidak membuat pinjaman PTPTN iaitu yang mempunyai baki hutang WPP sahaja. Diskaun juga diberikan kepada peminjam yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan seperti senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan saman.

Oleh itu diharap agar peminjam PTPTN jangan lepaskan peluang ini. Insentif ini hanya ditawarkan hingga 31 Disember tahun depan.

Oleh itu jangan tunggu saat-saat akhir untuk mendapatkan diskaun ini. Bagi peminjam yang berkemampuan, disarankan segera merebut peluang ini kerana lebih cepat peminjam membuat penyelesaian keseluruhan, lebih banyak penjimatan kos pentadbiran/kos upah dapat dinikmati.

Kaedah mendapat pemberian diskaun 15 peratus

Untuk mendapatkan diskaun 15 peratus ini, peminjam perlu membuat penyelesaian keseluruhan baki hutang pinjaman dalam tempoh 22 Oktober 2016 hingga 31 Disember 2017.

Sebelum itu, peminjam perlu mendapatkan pengesahan keseluruhan baki hutang pinjaman daripada pihak PTPTN melalui saluran yang disediakan.

Secara online peminjam boleh ke Portal Rasmi PTPTN (www.ptptn.gov.my) melalui Ruangan Bajet 2017: Permohonan Pengesahan Baki. Peminjam perlu masukkan nombor kad pengenalan dan nombor pinjaman. Untuk mendapatkan nombor pinjaman, sila hubungi Careline PTPTN 03-2193 3000.

Setelah memperoleh maklumat baki hutang, peminjam boleh membuat pembayaran berdasarkan baki hutang pinjaman di semua saluran atau kaedah bayaran balik PTPTN yang telah disediakan termasuk bayaran secara online seperti perbankan internert, myPay, JomPAY dan sebagainya.

Setelah peminjam membuat bayaran bagi penyelesaian penuh pinjaman, Surat Pelepasan Hutang (SPH) akan dikeluarkan mulai 5 hari bulan berikutnya selepas pelarasan diskaun 15 peratus diselesaikan.

Pengeluaran Akaun 2 KWSP

Peminjam PTPTN boleh membuat bayaran balik melalui pengeluaran daripada Akaun 2 KWSP. Bagi bayaran melalui Akaun 2 peminjam, pemulangan lebihan akan dibuat ke Akaun 2 peminjam.

Permohonan pengeluaran KWSP kini lebih mudah kerana peminjam boleh terus membuat permohonan secara online di laman web KWSP, www.kwsp.gov.my.

Untuk membuat permohonan ini, peminjam hendaklah mempunyai i-Akaun terlebih dahulu.

Justeru, kepada peminjam yang mempunyai caruman dengan KWSP terutama yang telah mempunyai caruman yang banyak, inilah masa terbaik untuk merebut peluang membuat penyelesaian keseluruhan baki hutang pinjaman dan mendapatkan diskaun 15 peratus.

Pengeluaran daripada Akaun 2 KWSP peminjam melibatkan perjanjian pendidikan yang ditandatangani pada atau selepas 2 Januari 2001 (peringkat Diploma dan ke atas).

Manakala pengeluaran daripada Akaun 2 KWSP ibu atau bapa peminjam melibatkan Perjanjian Pinjaman yang ditandatangani pada atau selepas 1 April 2000 (peringkat Ijazah Sarjana Muda); dan Perjanjian Pinjaman yang ditandatangani pada atau selepas 17 Januari 2006 (peringkat Diploma).

Diskaun 10 peratus

Peminjam yang layak untuk menikmati diskaun 10 peratus ialah peminjam yang membuat bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan peminjam yang membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit mengikut ansuran pada jadual bayaran balik yang ditetapkan.

Permohonan potongan gaji boleh dibuat secara online di www.ptptn.gov.my. Manakala bagi permohonan direct debit, peminjam hendaklah mendapatkan borang di kaunter PTPTN dan menghantar borang yang lengkap di mana-mana kaunter PTPTN terdekat. Hanya borang yang asal diterima.

Diret debit merupakan saluran baharu bagi bayaran balik pinjaman PTPTN yang disediakan PTPTN dengan kerjasama Bank Islam.

Saluran ini membolehkan PTPTN membuat potongan secara berkala daripada Akaun Simpanan/Akaun Semasa peminjam.

Permohonan dan transaksi melalui direct debit juga PERCUMA.

Oleh itu, kepada peminjam yang belum memulakan pembayaran , rebutlah peluang ini untuk menikmati diskaun 10 peratus ini dengan memohon potongan gaji atau direct debit hari ini.

Selain dapat menikmati diskaun 10 peratus melalui potongan gaji atau direct debit, peminjam juga akan menikmati kelebihan lain iaitu, peminjam boleh memastikan bayaran balik dibuat secara konsisten, peminjam juga boleh mengelakkan hutang pinjaman tertunggak sekali gus mengelakkan tindakan penguatkuasaan seperti senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan saman.

Selain itu, peminjam boleh mengelakkan rekod buruk dalam sistem rujukan kredit Bank Negara apabila tiada tunggakan pinjaman.

Pelajar yang pernah menunaikan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) tetapi bukan peminjam PTPTN layak menerima diskaun 10 peratus sekiranya peminjam membuat bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang WPP dalam bulan yang sama.

Sekiranya peminjam mempunyai tunggakan atau dikenakan tindakan penguatkuasaan, rundingan perlu dilakukan dengan menghubungi Careline PTPTN 03-2193 3000 atau Eksekutif Pemasaran PTPTN (nama dan nombor telefon pegawai boleh didapati di Portal Rasmi PTPTN).

Insentif pemberian diskaun 15 peratus dan 10 peratus ini terbuka kepada semua peminjam, sama ada mereka yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan atau tidak.

Justeru, peminjam hanya perlu memulakan atau meneruskan bayaran balik mereka.

Diharapkan tawaran ini dapat meningkatkan kesedaran peminjam yang sudah bekerja seperti kakitangan awam dan swasta untuk membuat bayaran secara konsisten melalui kaedah potongan gaji atau direct debit.

Manakala bagi yang berkemampuan, inilah peluang terbaik untuk menikmati pengurangan yang ketara.

Semoga insentif ini dapat meringankan beban kepada peminjam untuk melaksanakan bayaran balik pinjaman PTPTN.

Melalui kutipan bayaran balik ini juga dapat membantu memastikan kelangsungan pinjaman kepada generasi akan datang.

INFO:

Hubungi: Careline PTPTN 03-2193 3000, 7 hari seminggu

Waktu Operasi:

8 pagi hingga 7 malam (Isnin-Jumaat)

8 pagi hingga 5 petang (Sabtu & Ahad kecuali cuti umum)

Selaras dengan pemberian intensif dalam Bajet 2017, PTPTN menggalakkan peminjamnya merebut peluang keemasan membuat bayaran balik sepanjang tempoh bermula 22 Oktober 2016 hingga 31 Disember 2017.

Tawaran diskaun hebat ini menanti peminjam yang membuat bayaran balik dalam tempoh berkenaan.


0 comments:

share2