Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 16, 2016

USIA, JARAK DAN WANG BUKAN HALANGAN


Usia, jarak, wang bukan halangan


Kota Bharu - Faktor usia, jarak dan wang bukan halangan untuk peserta mengikuti teknik penguasaan bacaan al-Quran tiga hari iaitu Tenik Cordobana bagi mendalami kalam suci ALLAH SWT.

Jurucakap Akademi Cordoba Malaysia, Haswadi Mat Hussin berkata, ini kerana teknik yang digunakan lebih berbeza malah kaedah yang digunakan oleh tenaga pengajar membuatkan peserta rasa lebih senang dan bersemangat untuk belajar.

Menurutnya, rata-rata peserta yang datang ke kelas Teknik Cordobana tiada asas langsung malah ada yang sudah berumur tetapi cara yang digunakan untuk mengajar tidak akan membuatkan mereka rasa kekok, malu ataupun bosan.

“Ada seorang peserta kita datang Jerteh, Terengganu berusia 63 tahun sanggup datang ke sini (Pengkalan Chepa) untuk mempelajari dan menguasai bacaan al-Quran.

“Faktor jarak, usia dan wang bukan penghalang wanita gigih ini walaupun terpaksa menggunakan khidmat suami untuk menghantar dan mengambilnya setiap hari, walaupun dia baru saja menjalani pembedahan pintasan jantung.

"Kita tahu sebenarnya dekat luar sana ramai lagi masyarakat Islam tak mampu baca al-Quran dan ini mungkin disebabkan tiga faktor itu,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Teknik Cordobana siri keenam di Kelantan, semalam.

Seramai 33 peserta menyertai kelas Teknik Cordobana yang diadakan di Pejabat Sinar Harian Pengkalan Chepa yang bermula kelmarin.

Haswadi berkata, sambutan terhadap kelas Teknik Cordobana juga amat memberangsangkan kerana pada awalnya menjangkakan 15 peserta sahaja tetapi semalam kira-kira 33 peserta menyertainya.

“Peserta kali ini di luar jangkaan, amat bersyukur dengan sambutan dan kesedaran orang ramai untuk mendalami kalam ALLAH SWT ini, untuk setiap program kita tidak tetapkan had dan jumlah peserta.

“Selepas ini jelajah Teknik Cordobana akan ke Kedah, Perlis, Melaka dan sehingga Disember jadual kita memang padat.

“Kalau boleh kita mahu peserta Teknik Cordobana ini bukan sahaja diajar cara bacaan al-Quran dengan baik malah mempraktikkan secara berterusan sekali gus melahirkan Muslim tegar al-Quran,” katanya.

Untuk tempahan tempat dan maklumat boleh menghubungi Ketua Pegawai Operasi Akademi Cordoba Sdn Bhd, Azam Aris di talian 019-2165175.

Dalam perkembangan lain, Haswadi berkata, pihaknya juga sedang merancang untuk melebarkan lagi sayap bagi menyampaikan manfaat Teknik Cordobana ini secara menyeluruh ke semua peringkat umur dan golongan.


0 comments:

share2