Tanjong Karang – Seorang pekerja swasta maut manakala isterinya parah selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 67 Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran Tali Air 1, pagi semalam.
Dalam kejadian pada jam 9.42 pagi itu, mangsa, Uwais Mardi, 28, bersama isterinya, Fidyatul Alyaa Hafizi Affandi, 26, dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka di Klang menuju Sungai Besar untuk menghadiri pertemuan dengan wakil rakyat.
Kereta jenis Proton Gen2 dipandu mangsa dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian depan sebelah kanan sebuah lori dari arah Teluk Intan menghala ke Klang di lorong kiri jalan berkenaan.
Pelanggaran menyebabkan kereta dinaiki pasangan suami isteri itu berpusing melawan arus lalu lintas dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Isteri mangsa mengalami kecederaan parah akibat kejadian itu dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan, manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah mengesahkan ada menerima laporan berhubung kemalangan terbabit dan memaklumkan, kes tersebut disiasat oleh Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Inspektor Mohd Faizul Ahmad Suhaimi.
"Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pengecaman mayat juga sudah dilakukan oleh bapa mangsa di bilik mayat Hospital Tanjong Karang.
"Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke IPD Kuala Selangor atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya serta undang-undang sedia ada.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Azmi Abbas memberitahu, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.
"Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan pasukan bomba dengan kekuatan tujuh anggota serta pegawai diketuai Penguasa Bomba Kanan 1,Shamsul Anuar Antang terpaksa menggunakan 'hydraulic rescue tools' untuk mengeluarkan mangsa.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
0 comments:
Post a Comment