Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 17, 2016

SPR TERIMA 836 REPRESENTASI BANTAHAN


Persempadanan semula


Putrajaya - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 836 representasi bantahan bagi Syor Persempadanan Semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sabah dan Tanah Melayu sepanjang tempoh pameran dan bantahan sebulan yang berakhir, Jumaat lepas.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, berdasarkan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan siasatan tempatan bagi mendengar representasi bantahan yang diterima.

Bantahan itu diterima daripada kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau sekumpulan orang seramai 100 atau lebih yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian-bahagan pilihan raya berkenaan, katanya.

"SPR akan memaklumkan kepada pihak pembantah yang layak mengikut undang-undang melalui surat yang akan dikeluarkan SPR kepada pihak yang terlibat mengenai tarikh, masa dan tempat bagi mendengar representasi bantahan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

SPR mempamerkan syor kajian itu bermula 15 September lepas.

Mohd Hashim berkata, SPR merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dan turut serta dalam proses pameran dan bantahan kali ini.

SPR melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.


0 comments:

share2