Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 12, 2016

‘SAYA SERONOK TOLONG ORANG SUSAH'


‘Saya seronok tolong orang susah’


Semenyih - Kesedaran masyarakat untuk menderma darah kini semakin meningkat, malah ia merupakan amalan yang mulia serta dapat membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

Keprihatinan kita untuk menyumbang kepada keperluan ini sebenarnya mampu menyelamatkan nyawa orang lain.

Hew Hock Peng, 49, merupakan antara individu terbanyak menderma darah di Malaysia berkata, nalurinya yang mudah tersentuh dengan keperluan masyarakat mendorongnya menjadi penderma darah.

“Saya mula derma darah ketika berusia 19 tahun apabila seorang rakan kepada kawan saya perlukan gantian darah selepas terbabit dalam kemalangan.

“Saya jadi penderma aferesis pula pada 1998 apabila doktor mendapati saluran darah saya besar.

“Pada April lalu, saya direkodkan menderma darah sebanyak 470 kali (untuk derma darah dan aferesis),” katanya.

Beliau berkata, kini masyarakat berpeluang menderma darah lebih kerap melalui satu kaedah yang menjadikan mereka sebagai penderma aferesis.

“Penderma aferesis hanya perlu derma sebahagian komponen darah mereka iaitu plasma dan platelet tanpa membabitkan sel darah merah.

“Jika sebelum ini pendermaan membabitkan kesemua komponen darah, sekarang penderma boleh menderma sebahagian komponen darah mereka,” katanya.

Derma darah dua minggu sekali

Hock Peng berkata, beliau menderma darah setiap dua minggu sekali.

“Mesin khas digunakan untuk proses pendermaan komponen darah, ia menjadi lebih efisien kerana hanya komponen darah yang diperlukan akan disaring dan sel darah yang lain akan masuk ke dalam tubuh semula,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada kesan sampingan selepas beliau menderma darah.

“Saya berasa seronok dapat menolong orang, prihatin dan peka. Itulah pegangan hidup saya,” katanya.

Komponen darah itu penting untuk merawat masalah pendarahan mangsa kebakaran, kemalangan, wanita bersalin yang kehilangan banyak darah, penyakit hemofilia, buah pinggang, hati dan sebagainya.

Antara komponen darah itu adalah plasma yang merupakan cecair darah yang mengandungi protein, antibodi dan bahan-bahan pembekuan darah yang boleh menghalang dan merawat pelbagai jenis penyakit.

Platelet pula diperlukan untuk mencegah pendarahan seperti penyakit leukemia, denggi berdarah, demam denggi dan sebagainya.

Saran masyarakat tampil jadi penderma

Beliau menyarankan orang ramai tampil menjadi penderma aferesis.

“Individu berkenaan hanya perlu meluangkan masa antara 45 minit hingga satu jam setengah untuk menderma komponen darah.

“Mereka yang ingin menjadi penderma aferesis perlu datang ke Pusat Darah Negara kerana proses pengasingan darah ini memerlukan penggunaan mesin khas,” katanya.

Hock Peng turut mengalu-alukan pusat membeli-belah menyediakan ruang yang selesa untuk masyarakat menderma darah khususnya.

“Selain orang ramai beli-belah, mereka juga berpeluang menderma darah,” katanya.

Hock Peng adalah salah seorang daripada enam pemenang MYHero Award yang dianugerahkan kepada individu yang berjasa kepada masyarakat.

Sumbangan beliau ini membantu masyarakat daripada pelbagai latar bangsa, terutamanya penghidap barah dan penghidap penyakit berbahaya yang lain.


0 comments:

share2