Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 12, 2016

[RAUB] REMAJA OKU DIKHUATIRI SESAT


Remaja OKU dikhuatiri sesat


Seorang remaja lelaki Orang Asli dikhuatiri sesat di dalam hutan berhampiran rumahnya di Kampung Ngening, Pos Lenjang.

Mangsa, Rosi, 15, yang merupakan seorang OKU dikatakan keluar rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga pada kira-kira jam 9 pagi, 7 Oktober lalu dan tidak pulang ke rumah.

Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, ahli keluarganya meminta bantuan orang kampung untuk mencari mangsa.

Bagaimanapun, usaha mencari mangsa yang merupakan OKU pendengaran, tangan dan kaki di sekitar kawasan kampung serta hutan berhampiran selama beberapa hari tidak berhasil.

Ahli keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sungai Koyan pada kira-kira jam 5.30 petang, 10 Oktober lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lipis, Haslizan Ramli berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis mengenai kehilangan mangsa.

Menurutnya, lima anggota bomba menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa yang bermula pagi semalam.

“Anggota bomba bersama pasukan penyelamat lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) seramai 35 orang telah menyertai misi mencari dan menyelamat mangsa.

“Operasi bertumpu di sekitar hutan berhampiran dipercayai tempat mangsa sesat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas taklimat operasi mencari dan menyelamat di Balai Polis Sungai Koyan, di sini semalam.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Penghulu Mukim Jelai, Ahsyar Amin Ahmad.


0 comments:

share2