Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 12, 2016

[BERA] BUDAK TUJUH TAHUN PENAGIH TERMUDA


Budak tujuh tahun penagih termuda


Peningkatan jumlah orang kena pengawasan (OKP) berdaftar di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang kini mencecah 5,494 orang di negeri ini, membimbangkan dan tidak seharusnya dipandang remeh.

Pengarah AADK Negeri, Abdul Ghani Abd Rahman berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa, malah bilangan penagih baharu turut direkodkan pada angka tinggi.

Menurutnya, sepanjang September lalu, seramai 140 OKP baharu didaftarkan.

“Ini adalah jumlah penagih baharu kita dapat tangkap yang sebelum ini belum lagi mendaftar dengan AADK. Jumlah ini bukan sedikit dan majoritinya adalah dalam lingkungan umur 18 hingga 35 tahun.

“Setiap bulan AADK akan merekodkan jumlah penagih dadah baharu dan secara tidak langsung akan meningkatkan lagi jumlah penagih dadah sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Memperkasakan Pemimpin Komuniti Bagi Pencegahan Dadah Peringkat Daerah Bera anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Cawangan Bera dengan kerjasama AADK Daerah Bera, semalam.

Program itu dirasmikan oleh Pegawai Daerah, Datuk Razihan Adzharuddin dan turut dihadiri Pengerusi Pemadam Daerah, Alina Tahidul Asmak.

Difahamkan, jumlah penagih dadah berdaftar itu turut membabitkan warga asing yang bekerja atau bermastautin di negeri ini.

Berdasarkan statistik kebangsaan, peningkatan penagih dikesan meningkat pada 2015 kepada 282,660 orang dengan jumlah penagih muda yang dikesan pula meningkat sebanyak 76.1 peratus.

Seramai 224 OKP direkodkan di daerah Bera pada bulan lepas dan 239 orang pada Ogos lalu.

Beliau berkata, setakat ini, daerah ini belum termasuk dalam 174 kawasan berisiko tinggi yang direkodkan di seluruh negara.

Abdul Ghani berkata, penagih dadah paling muda dikesan adalah berusia tujuh tahun, sementara di negeri ini pula, kanak-kanak berusia sembilan tahun dikesan menagih dadah.


0 comments:

share2