Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 12, 2016

10,000 ANGGOTA APM BERSIAP SEDIA HADAPI BANJIR


10,000 anggota APM bersiap sedia hadapi banjir


Seremban - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap siaga mengerah 10,000 anggotanya pada bila-bila masa untuk operasi membantu mangsa banjir di mana-mana negeri yang terlibat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APM, Datuk Selamat Dahalan berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap negeri juga telah pun mengadakan mesyuarat melibatkan pelbagai agensi berkaitan mengenai persiapan menghadapi banjir.

“Mesyuarat tersebut bertujuan melihat persiapan dan keboleh upayaan yang dimiliki di setiap agensi misalnya dari segi logistik,aset dan kekuatan anggota masing-masing untuk kita pastikan bagaimana kita dapat gunakan aset tersebut secara perkongsian.

“Kita (APM) pula dengan kerjasama Pasukan Tindak Balas Kecemasan Peringkat Komuniti (CDERT) telah pun buat latihan operasi bagi membiasakan anggota yang terlibat dalam pengurusan bencana melakukan tugas mereka,” katanya.

Menurutnya, APM juga telah mengenal pasti mana-mana agensi yang mempunyai aset boleh digunakan semasa kecemasan, menyediakan tempat pendaratan helikopter, menambah pusat pemindahan sedia ada dan membaik pulih kemudahan yang disediakan di situ.

Bagaimana pun katanya, masyarakat juga diharap dapat membuat persiapan awal sebelum bencana berlaku, misalnya mempersiapkan dokumen dan pastikan peralatan yang perlu diselamatkan dahulu.

“Kita harap kali ini masyarakat dapat langkah proaktif dengan berpindah ke tempat lebih selamat sebelum bencana menjadi lebih buruk.

‘Sebelum ini ramai yang apabila banjir sudah aras pinggang, baru nak pindah sedangkan ketika itu keadaan sudah menjadi kelam kabut dan sudah tentu ia menyusahkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada majlis Pemakaian Pangkat dan Penyerahan Watikah Pelantikan Pegawai Bersekutu, Pegawai Pasukan dan Pegawai Tidak Bertauliah di APM negeri, semalam.

Pada majlis tersebut, seramai 67 penerima pangkat dan watikah termasuk pegawai dari Kolej Komuniti dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Hadir sama, Pengarah APM negeri, Kamal Mokhtar.


0 comments:

share2