Melihat traktor mengangkut tandan kelapa sawit sebelum diangkut menggunakan lori untuk dihantar ke pusat jualan adalah perkara biasa di kawasan ladang.
Namun situasi berbeza dapat dilihat di kawasan ladang yang tanahnya jenis gambut seperti di Kampung Pianggu.
Beberapa pemilik ladang di kampung itu lebih selesa menggunakan tenaga kerbau untuk mengangkut tandan-tandan sawit, berbanding traktor.
Ketua Kampung Pianggu, Mohd Azli Abdullah berkata, ladang sawit seluas 101.8 hektar diusahakan keluarganya bersama beberapa pihak lain, menggunakan kudrat kerbau bagi mengangkut sawit untuk dibawa ke jalan utama.
Menurutnya, kerbau lebih kuat dan sesuai digunakan di ladang tanah jenis gambut kerana perjalanannya lebih lancar berbanding traktor yang tayarnya mudah tersangkut di kawasan tanah lembut.
Katanya, sebelum kerbau digunakan, haiwan itu perlu dilatih upaya memahami arahan diberikan seperti jalan ke hadapan, belok ke kanan atau kiri, berhenti dan undur.
Mohd Azli berkata, terdapat dua jenis kerbau iaitu kerbau nibong yang berbadan besar namun tanduk kecil, manakala kerbau padi berbadan kecil tetapi bertanduk besar.
Katanya, kerbau nibong lebih sesuai digunakan kerana saiz tubuhnya lebih besar.
“Keluarga saya sudah biasa dengan kerbau kerana tiga keturunan memeliharanya. Saya mula buka ladang pada 1995 manakala pada 2000 saya terfikir nak guna tenaga haiwan ini selepas teringat kata-kata ayah yang kerbau dulu-dulu boleh buat pelbagai kerja seperti mengangkat balak dan nibong.
“Terus terang, traktor memang tak boleh lawan sebab kerbau tak sangkut bila jalan atas tanah gambut. Setelah diajar, kerbau dapat ikut arahan yang kita sebut seperti kiri atau kanan untuk membelok atau ‘stop’ untuk berhenti,” katanya.
Semput jika kembung
Difahamkan, seekor kerbau mampu menarik muatan seberat kira-kira 500 kilogram (kg) pada satu-satu masa.
Kaedah itu menjimatkan kerana dalam sehari, seekor kerbau mampu menarik muatan sawit sehingga 10 tan.
Menurut Mohd Azli, kerbau boleh dilatih bermula pada usia setahun setengah, tidak kira jantan atau betina, namun lebih sesuai jenis betina kerana ia tidak berkawan dan mampu bekerja sehingga 15 tahun.
Katanya, latihan dimulakan dengan mengurung kerbau di dalam kandang dengan memberi minum air sahaja hingga ia tidak liar atau boleh mendengar cakap.
Haiwan itu kemudiannya dibawa ke ladang untuk dilatih yang memakan masa kira-kira dua minggu.
Kerbau dilatih kemudiannya turut dijual untuk kegunaan di ladang dan kebiasaannya dibeli pemilik ladang atau individu yang mendapat kontrak mengangkut sawit.
Menurutnya, pelanggannya paling jauh setakat ini adalah dari Temerloh yang membeli seekor kerbau dengan harga RM4,500.
“Sekarang ini makin ramai guna khidmat kerbau kerana menjimatkan kos. Haiwan itu makan rumput di ladang dan berehat untuk mengembalikan tenaganya, selain berkubang dalam parit disediakan.
“Kelemahan kerbau ini hanya satu iaitu boleh semput jika kembung, jadi nak mengelak masalah itu timbul, ketika di ladang kita berikannya air bancuhan gula merah, garam kasar dan bawang putih yang dimasak bersama,” katanya.
Mohd Azli berkata, kerbau sudah berusia akan dijual untuk disembelih namun dagingnya agak keras dan berwarna kehitaman disebabkan kerja-kerja dilakukan.
Tugasnya melatih dan menguruskan kerbau lebih ringan apabila dibantu pekerja berasal dari Sulawesi, Indonesia, Abdul Kadir Nit, 46, yang bekerja dengannya lebih 20 tahun serta mahir melatih.
Abdul Kadir berkata, kerbau boleh terus bekerja sampai petang tanpa rehat jika hujan kerana ia kuat pada waktu itu. Ia berehat pada waktu tengah hari untuk makan dan berkubang serta sambung bekerja pada jam 2 hingga jam 5 petang.
Berkongsi teknik latihannya, lelaki berusia 58 tahun itu berkata, dia memerah air peluh baju ke dalam bekas air minuman kerbau, meludah di bahagian hidung ketika sesi melatih, membakar bulu mata supaya boleh melihat pengajar dan mencabut bulu telinga supaya boleh mendengar arahan.
0 comments:
Post a Comment