Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 16, 2016

PELAJAR SENGAJA CARI PASAL


Pelajar sengaja cari pasal


Puchong – “Kalau budak-budak sekolah tunggang motosikal tak pakai topi keledar ni dah jadi pemandangan biasa di Puchong Permai dan Puchong Prima. Bukan saja budak sekolah, orang dewasa pun sama,” kata peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Saleha, 48.

Katanya, trend itu makin menjadi-jadi apabila polis dikatakan kurang membuat sekatan jalan raya di kawasan berkenaan.

Saleha berkata, gejala pelajar menunggang motosikal tanpa diketahui mempunyai lesen atau tidak mengundang kebimbangan orang awam.

“Tengok sahaja bagaimana pelajar ini tunggang motosikal, ada yang sengaja buat lagak berbahaya untuk tunjuk kehebatan depan rakan-rakan mereka.

“Ia bukan saja bahayakan keselamatan pelajar itu sendiri, tapi pada masa sama bahayakan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.

Apa yang dikesali katanya, sikap ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal walaupun tahu kesalahan menunggang tanpa lesen apatah lagi ciri keselamatan lain.

“Masalahnya bila berlaku kemalangan babitkan anak mereka, orang lain pula disalahkan sedangkan anak mereka sendiri diberi kebenaran menunggang motosikal tanpa lesen,”katanya.

Penguatkuasaan peraturan lemah

Bapa kepada empat anak yang hanya mahu dikenali sebagai Darus berkata, tindakan penguatkuasaan lebih kerap perlu dijalankan di sekolah untuk mengesan pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen.

Katanya, jika tidak dibendung keadaan itu berleluasa dan pelajar seolah-olah naik minyak apabila tiada yang mengekang perbuatan mereka.

“Memang ada ibu bapa yang nak jimat dan biarkan anak-anak mereka tunggang motosikal sendiri ke sekolah, kalau tak jadi apa tak apalah, kalau jadi sesuatu macam mana?

“Lebih memburukkan keadaan kalau motosikal dipandu tiada cukai jalan dan diubahsuai pula,” katanya.

Sementara itu tinjauan dilakukan Sinar Harian kira-kira jam 1.15 tengahari di depan sebuah sekolah menengah di Puchong baru-baru ini mendapati terdapat puluhan motosikal diletakkan di luar pagar sekolah berkenaan.

Setelah waktu persekolahan sesi pagi tamat, kelihatan pelajar majoritinya lelaki menunggang motosikal tanpa mengenakan topi keledar.

Kumpulan pelajar ini yang menunggang motosikal secara berkumpulan dilihat tanpa perasaan takut berlumba sesama sendiri dan memecut laju tanpa memikirkan soal keselamatan diri dan juga pengguna lain.

Lebih menyedihkan ada ibu bapa yang datang menjemput pelajar pulang juga tidak memakai topi keledar.

Ada pula segelintir daripada mereka yang membiarkan anak-anak membonceng di belakang tanpa memakai topi keledar, sedangkan mereka mengenakan alat pelindung kepala berkenaan.


0 comments:

share2