Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 28, 2016

PEKERJAAN ITU IBADAH


kerja


Kemelut memperlihatkan jenayah rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan penjawat awam mahu pun swasta.

Harapkan pegar, pegar makan padi. Individu yang menjadi harapan dan kepercayaan terlibat dalam jenayah tersebut.

Kes ini meliputi perbuatan meminta dan menerima suapan, menawar dan memberi suapan, membuat tuntutan palsu dan menyalahgunakan kedudukan jawatan untuk kepentingan peribadi dan sebagainya.

Undang-undang sememangnya wujud. Mereka yang tertangkap dibicarakan di mahkamah. Kes yang dibawa ke mahkamah, menunjukkan jenayah ini dilakukan saban tahun melibatkan jumlah wang yang besar.

Statistik tangkapan kesalahan rasuah sehingga September 2016 mencatatkan seramai 670 pesalah berbanding 841 pesalah pada 2015. Statistik pesalah rasuah sehingga September 2016 pula mencatatkan 127 berbanding 157 orang untuk 2015.

Malaysia berada di tangga ke 54 daripada 168 negara yang dinilai berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2015, menyaksikan penurunan empat anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

ALLAH SWT Maha Berkuasa dan Mentadbirkan sekalian alam. Manusia sebagai khalifah yang diamanahkan mengurus kehidupan di bumi ini. Al-Quran turut mengemukakan tanggungjawab mengurus, ciri-ciri pengurus dan pekerja yang baik, kejayaan pengurus dan pekerja yang beriman, kegagalan pengurus dan pekerja yang khianat, negara yang sejahtera dan keruntuhan negara serta bangsa kerana keburukan pemimpin dan rakyatnya, juga usaha membina negara dan kekuasaan dengan fungsi kerajaan menjalankan perkhidmatan. Antaranya Surah Yunus ayat 3 dan ayat 31, Surah Al-Ra’d ayat 2, Surah Sajadah ayat 5 dan sebagainya.

Teras kepada pengurusan adalah kuat dan amanah. Seseorang pengurus dibentuk, bukan dilahirkan. Mendasari dakwah Nabi Musa AS dengan prinsip Al-Qawiy (kuat) dan Al-Amin (amanah) dalam pekerjaan. Sirah Nabi Yusuf AS mengurus ekonomi dan perbendaharaan negara Mesir dengan kekuatan prinsip hafiz (jujur) dan alim (profesional).

Kisah kekaguman dua anak perempuan Nabi Syuaib AS terhadap Nabi Musa dalam membantu mereka mengambil air minuman untuk ternakan.

Mereka terpegun dengan keterampilan Nabi Musa, seorang pemuda yang kuat melaksanakan kerja dengan penuh tanggungjawab, kesungguhan, tekun dan akhlak terpuji tanpa mengambil kesempatan terhadap kaum wanita. ALLAH menjelaskan prinsip Al-Qawiy (kekuatan) dan Al-Amin (amanah) dalam Surah Al-Qasas ayat 26.

Secara mudah, Al-Qawiy dalam konteks ini ialah mempunyai kekuatan dan kompetensi. Al-Amin merujuk kepada orang yang baik, beriman, amanah dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab.

ALLAH menegaskan ciri individu paling tepat diberikan tugas adalah individu yang memiliki kekuatan dan amanah. Dalam konteks kini, pekerja yang baik ialah kuat dalam erti kata mempunyai keupayaan dari segi mental dan fizikal, kelayakan, kemahiran, pengalaman, kesihatan, kecerdasan dan kesungguhan dalam menjalankan tugas.

Ciri kedua pula ialah kebolehpercayaan ataupun beramanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Dalam konteks yang menyeluruh dari segi tugas dan kerja, Al-Qawiy dan Al-Amin disinonimkan dengan kompetensi, keupayaan, integriti, kebolehpercayaan dan amanah sebagai benteng perilaku negatif dalam kehidupan.

Kisah Nabi Yusuf mempunyai kekuatan ilmu pengetahuan dan profesional dalam pengurusan harta, pendapatan dan sumber kekayaan negara. Selepas dilantik menjaga perbendaharaan negara Mesir ketika itu, Nabi Yusuf segera menyiapkan bekalan dan mengambil tindakan yang terancang bagi menangani musim kemarau serta kebuluran yang akan melanda.

Rakyat Mesir digesa menanam gandum selama tujuh tahun berturut-turut. Gudang besar dibina untuk menyimpan hasil tuaian gandum berserta tangkai dan batangnya. Ini bertujuan mengekalkan kesegaran dan kelembapannya selain mengelakkan ia diserang ulat.

Selain itu, sebahagian kecil daripada gandum itu disimpan untuk dijadikan benih. Jelas daripada kebijaksanaan ini, antara langkah terbaik yang perlu diambil dalam menghadapi sesuatu kemelut seperti kemarau, kebuluran dan kesulitan hidup. Inilah perancangan yang teliti dan penuh bijaksana serta perubahan gaya hidup yang dijadikan teladan dalam mengatasi kesulitan hidup, terutama berkaitan dengan pengurusan pendapatan dan kewangan.

Hafiz dalam konteks ini dimaksudkan sebagai jujur dan alim sebagai berpengetahuan dan profesional. Inilah kepentingan kekuatan ilmu pengetahuan dan profesional dalam pengurusan. Setiap pentadbiran diuruskan dengan bijaksana dan sistematik.

Pelantikan Nabi Yusuf menjaga perbendaharaan negara Mesir ketika itu bukan berdasarkan kenabian dan kerawakan Baginda tetapi berdasarkan ilmu dan profesionalisme yang dimiliki.

Ini kerana urusan kenegaraan dan kepimpinan memerlukan kemahiran, kebijaksanaan dan profesional dalam pengendalian dan penyelesaian permasalahan negara.

Dalam hal ini, Nabi Yusuf berjaya mendepani risiko yang bakal dihadapi penduduk Mesir iaitu kemarau yang berpanjangan dan mengambil langkah-langkah yang perlu dilaksanakan bagi menghadapi bencana tersebut.

Kejujuran dan profesionalisme Nabi Yusuf dalam menangani risiko telah menyelamatkan negara daripada kebinasaan. Ini kerana setiap individu mahupun organisasi sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko.

Pengurusan risiko adalah suatu proses yang sistematik dalam mengenal pasti dan menilai risiko yang mungkin dihadapi. Kemudian memilih dan melaksanakan teknik pengendalian risiko yang sesuai dalam mengawasi risiko yang bertepatan dengan matlamat organisasi.

Oleh yang demikian tepatlah apabila Nabi Yusuf mengambil pendekatan strategik bagi memastikan segala perancangan yang dibuat membuahkan hasil yang diharapkan.

Perancangan yang tepat dan ke hadapan menyelamatkan ekonomi rakyat dan negara dengan mengimbangi kadar penghasilan, penabungan, perbelanjaan serta penambahbaikan sistem perekonomian.

Setiap individu semestinya kuat, amanah, jujur dan profesional dalam pekerjaan. Pekerjaan adalah ibadah. Perkhidmatan yang ditawarkan akan menambahkan lagi amal kebajikan dan pahala, bukan sekadar mencapai matlamat diri dan organisasi.

Pekerjaan platform mencapai kesejahteraan hidup di dunia mahu pun akhirat. Setiap individu tidak sepatutnya tamak mengejar kekayaan, lebih baik berasa cukup atau berpada dengan rezeki yang diperoleh. Setiap perlakuan dilihat ALLAH, dicatat malaikat dan mendapat pembalasan sewajarnya.

Inilah penanda aras penjawat awam dan swasta yang ikhlas berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara.


0 comments:

share2