Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 9, 2016

[KUANTAN] SANGGUP BERHABIS DEMI HOBI


Sanggup berhabis demi hobi


Mungkin bagi sesetengah orang, hobi mengumpul duit lama dan unik itu perkara yang tidak masuk akal, namun bagi mereka yang memahami nilai setiap duit yang dikumpul, pandangan orang lain tidak lagi penting.

Bagi pengumpul duit kertas, Muhammad Nur Ikram Noran, 26, dia mula jatuh cinta dengan keunikan duit kertas sejak tiga tahun lalu dan sanggup membeli duit kertas RM1 dengan harga RM900 kerana mempunyai nombor siri yang unik.

Menurutnya, banyak keunikan dan kriteria yang menggambarkan keistimewaan sesuatu duit kertas berkenaan.

“Pada peringkat permulaan, saya tengok dalam kumpulan pengumpul duit syiling sebelum terjebak mengumpul duit kertas.

“Walaupun ada yang berminat untuk membeli dan menawarkan dengan harga yang tinggi, namun buat masa ini, saya tidak berhasrat untuk jual,” katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra bersama ahli Numismatik dan barangan antik Pahang di Sungai Isap Damai, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Kelab Warisan Numismatik Malaysia, Datuk Sharuddin Yussof.

Muhammad Nur Ikram yang bekerja sebagai juruelektrik dan tinggal di Sungai Isap berkata, setakat ini dia sudah mengumpul lebih 50 keping duit kertas unik yang bernilai ribuan ringgit.

Katanya, dia lebih banyak mendapat maklumat mengenai duit kertas unik melalui rakan di laman sosial dan membelinya secara atas talian dengan pembekal dari Langkawi.

“Kita perlu berhati-hati dalam urusan jual beli untuk elak ditipu dan menipu. Justeru, lebih baik kita berurusan dengan mereka yang berdaftar sebagai ahli numismatik,” katanya.

Muhamamd Nur Ikram berkata, nilai duit kertas yang unik mempunyai harga yang tinggi di pasaran terutama kepada para pencinta duit lama dan unik.

Sementara itu, Sharuddin berkata, penglibatan golongan belia dalam pengumpulan duit lama dan unik ini semakin meningkat kerana mereka sedar mengenai nilai duit berkenaan.

“Tambahan pula, golongan ini bijak menggunakan laman sosial untuk berkongsi maklumat yang mereka ada.

“Medium itu digunakan untuk mendapatkan pembeli dan ini memberikan mereka pendapatan tambahan,” katanya.


0 comments:

share2