Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 9, 2016

[RAUB] ADU MAJIKAN TAK CARUM


Adu majikan tak carum


Pekerja digesa membuat aduan jika majikan mereka masih gagal membuat caruman menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengurus Perkeso Bentong, Roziah Abd Wahid berkata, pegawai bertugas akan melakukan siasatan berhubung aduan yang diterima bagi memastikan nasib pekerja dan waris mereka terbela.

Menurutnya, semua majikan perlu mendaftar dan mencarum setiap pekerja mereka sama ada berstatus tetap, sementara, kontrak mahupun sambilan.

“Caruman Perkeso adalah umpama insurans nyawa namun bukan sebagai jaminan keselamatan nyawa pencarum sebaliknya untuk ahli keluarga atau waris mereka.

“Sekurang-kurangnya dengan mencarum menerusi Perkeso, mereka memperoleh faedah-faedah yang disediakan serta mengurangkan beban yang dihadapi pencarum dan warisnya,” katanya ketika menyampaikan cek faedah pengurusan mayat kepada waris seorang pekerja stesen minyak, mendiang Su Min Yew yang maut semasa menjalankan tugas minggu lalu.

Ibu mendiang menerima RM1,500 bagi faedah pengebumian serta layak menerima pencen bulan sehingga akhir hayat.

Sementara itu, Roziah berkata bagi memastikan masyarakat terus peka dengan perkara ini, Perkeso terus mengadakan pelbagai program bagi memberikan kesedaran berterusan.

“Perkeso pandang serius isu ini malah mengadakan operasi berkaitan dari semasa ke semasa supaya majikan dan pekerja lebih peka terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Peringatan turut diberikan kepada majikan yang dikeluarkan notis pelbagai kesalahan termasuk lewat juga perlu mencarum dan mendaftarkan pekerja mereka di bawah akta yang sama,” katanya.


0 comments:

share2