Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 9, 2016

[KUANTAN] CURI SARANG KELULUT DARI HUTAN


Curi sarang kelulut dari hutan


Harga yang mahal dan permintaan tinggi terhadap sarang kelulut menyebabkan ada individu sanggup mencuri sarang berkenaan keluar dari hutan tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman berkata, hasil rondaan oleh Unit Penguatkuasa daerah dan negeri berjaya mengesan kegiatan mencuri sarang kelulut di beberapa daerah.

“Kita berjaya merampas tiga bongkah kayu bersama sarang kelulut minggu lalu dan ia adalah kes pertama di negeri ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati bongkah kayu itu mempunyai sarang kelulut dan ia merupakan satu kesalahan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) Seksyen 84 memiliki, membawa dan memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Paiz berkata, rampasan itu dibuat pada operasi penguatkuasaan bersepadu ‘Improving Connectivity In The Central Forest Spinel Landscape’ (IC-CFS) Pahang Barat di Raub, minggu lalu.

Tambah beliau, permintaan terhadap sarang kelulut yang meningkat menyebabkan semakin ramai pihak terbabit dengan aktiviti itu dan mereka tidak mengetahui membawa keluar bongkah kayu yang ada sarang kelulut adalah satu kesalahan.

“Memindahkan bongkah kayu bersama sarang kelulut sama kesalahannya dengan kegiatan memindahkan pelbagai hasil hutan lain seperti rotan, buluh, kayu, herba dan pokok yang dijadikan hiasan. 

“Bagi mereka yang memasuki hutan simpan tanpa permit boleh dikenakan tindakan yang membawa hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohd Paiz berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan dalam menyelesaikan masalah berkenaan bagi memastikan ia dapat diselesaikan secara baik dan berkesan untuk kebaikan kedua belah pihak.

Jelas beliau, mereka yang terbabit dengan aktiviti membawa keluar hasil hutan seperti buluh, rotan, kayu dan pokok hiasan perlu membayar cukai ditetapkan sebelum boleh memindahkannya.

Dalam pada itu, pihaknya akan meningkatkan hasil pemeriksaan dan sekatan jalan raya oleh Unit Penguatkuasa Pahang Barat dan Timur secara berjadual.

“Saya menasihati mereka yang terbabit dengan aktiviti itu memikirkan kaedah terbaik mengelak daripada menebang pokok dan bawa keluar bongkah kayu sehingga merosakkan hutan,” katanya.


0 comments:

share2