Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 5, 2016

KDN: LAPOR TRANSAKSI WANG YANG MENCURIGAKAN


Nur Jazlan


Kuala Lumpur - Kalangan pengamal pematuhan kawal selia perbankan di negara ini perlu berani membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai sebarang transaksi wang mencurigakan yang mungkin membabitkan kegiatan keganasan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan, ini penting bagi membolehkan tindakan segera dapat diambil untuk mengekang sebarang kegiatan pengganas.

Namun, katanya, apa yang menjadi masalah adalah transaksi itu ada kalanya tidak membabitkan jumlah wang yang besar.

"Aktiviti keganasan ini tidak memerlukan wang yang banyak sebagai insentif melakukan perbuatan (ganas). Jumlah seperti RM2,000 hingga RM5,000 mungkin sukar dikesan kerana dalam tempoh sehari misalnya, berjuta-juta transaksi perbankan melibatkan angka yang kecil.

"Sehubungan itu, kami mengalu-alukan sebarang usaha seperti langkah Bank Negara Malaysia (BNM), Institut Kewangan Asia (AIF) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menganjurkan persidangan seperti ini," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Kali Kelapan 2016 (IFCTF) di sini, hari ini.

Persidangan dua hari yang dihoskan bersama AIF dan Kumpulan Jaringan Pegawai Pematuhan (CONG), bertujuan membantu pengamal serta profesional pematuhan dari segi tadbir urus, (pengurusan) risiko dan aspek kepatuhan menerusi perbincangan pelbagai risiko dihadapi industri di peringkat tempatan dan antarabangsa.

ICFTF 2016 bertemakan 'Peningkatan Risiko Pematuhan : Menangani Trend Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan,' juga menyentuh risiko dihadapi industri serta aliran jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Nur Jazlan menggesa para delegasi, terutama pengamal di peringkat tempatan untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada negara.

"Sebagai anggota kumpulan pengurusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), nasihat terbaik yang saya boleh berikan kepada anda semua adalah berkhidmatlah pada tahap integriti paling tinggi, kesedaran paling tinggi serta rasa cintakan negara pada tahap paling tinggi.

"Ini semua adalah teras bagi memastikan negara ini dapat terus makmur sehingga masa depan.

"Aspek keperluan kawal seliaan ini kian ketara seiring peningkatan daya saing dunia akibat integrasi global. Jika Malaysia tidak menjadi sebahagian sistem global, sukar bagi negara ini mendapatkan modal atau pelaburan untuk tujuan pembangunan," tegasnya.


0 comments:

share2