Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 11, 2016

IKRAR TAKLUK KUTUB UTARA


 Muqharabbin Mokhtarrudin


Kuala Lumpur - Tiga anggota Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) bakal mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia terawal menakluk Kutub Utara dengan melakukan cabaran meluncur di atas ais sejauh 222 kilometer (km) pada April 2017.

Presiden KE7B Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, 34, Shahrom Abdullah, 37, dan Muhammad Irwan Yusuf, 36, akan memulakan ekspedisi itu pada 2 April dalam usaha mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Ekspedisi Kutub Utara melibatkan meluncur atas ais dengan menarik ‘sledge’ (beban barangan keperluan) selama 22 hari. Kami akan menyahut cabaran agar menjadi antara individu yang terawal untuk menjejakkan kaki di Kutub Utara nanti,” kata Muhammad Muqharabbin kepada pemberita selepas sesi latihan fizikal dan kecergasan di Bukit Tabur di sini, hari ini.

Beliau yang pernah menakluki Gunung Everest pada 2004 berkata ekspedisi itu akan meliputi perjalanan sejauh 20 hingga 30 km sehari.

Ekspedisi ke Kutub Utara itu menjadi ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B 7 Puncak 7 Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi Jelajah KE7B Felda Greenland dengan ski 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016.

Muhammad Muqharabbin berkata, latihan bagi persediaan fizikal dan mental akan dibuat di dalam dan luar negara seperti di Jepun dan Amerika Syarikat bagi memastikan objektif dan sasaran ekspedisi itu dapat dilaksanakan.

“Ketiga-tiga peserta semuanya mempunyai pengalaman masing-masing seperti Shahrom telah berjaya ke Kutub Selatan manakala Irwan telah menjelajah ke Greenland iaitu pulau terbesar dunia. Saya rasa gabungan ini sangat serasi untuk kami menakluki Kutub Utara,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Bagi Shahrom pula, pengalaman menerusi ekspedisi ke Kutub Selatan pada tahun lepas sangat membantu beliau dan pasukan dalam menjayakan ekspedisi itu selain daripada persiapan mental dan fizikal. 

“Setiap hari saya menjalani latihan seperti biasa dan saya juga menyertai beberapa kejohanan dan ia sebahagian daripada latihan asas sebelum latihan fasa yang seterusnya dengan cuaca sejuk dan survival," kata anak kelahiran Kelantan itu.

Beliau berkata, terdapat perbezaan dari segi bentuk permukaan antara Kutub Utara dan Selatan, dan itu cabaran buat pasukannya untuk menjayakan ekspedisi berkenaan.

“Kena ada persiapan dari segi fizikal, mental, cuaca dan altitud. Ada beza dari segi permukaan dekat Kutub Utara dan ia agak mencabar dari segi bongkah ais, jadi kita terpaksa buat banyak lencongan untuk meneruskan perjalanan atau untuk menarik 'sledge'. Kutub Selatan mendatar sedikit, lebih lurus jalannya... Kutub Utara kena belok sana belok sini," katanya.

Muhammad Irwan, yang berasal dari Sarawak, pula berkata persiapan yang dilakukan meliputi latihan larian jarak jauh dan pendakian di gunung-gunung di dalam negara.

Sementara itu, Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof berkata, kelab itu memperkenalkan nombor pendaftaran GT (Generasi Terbilang) yang dibuka tawaran bidaannya bermula 1 hingga 31 Okt ini.

“Nombor pendaftaran itu diuruskan oleh kelab dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan bagi nombor pendaftaran bermula daripada GT 1 sehingga GT 9999. GT adalah sinonim dengan KE7B kerana kelab ini telah melahirkan 23 ikon sukan lasak dan ekstrem sejak 2009," katanya.

Beliau berkata, penjualan nombor pendaftaran tersebut adalah bagi tujuan mengunmpul dana untuk pembangunan sukan ekstrem di peringkat antarabangsa dan mengadakan beberapa kejohanan serta ekspedisi sehingga 2020.

Katanya, bidaan yang diterima akan diputus dan dimaklumkan dua minggu selepas tarikh tutup manakala nombor-nombor yang tidak dibida akan dijual secara langsung kepada individu, syarikat atau badan-badan korporat yang berminat. 

“Mereka yang berminat boleh membuat bidaaan melalui laman web rasmi www.platgt.com atau menghubungi sekretariat di talian 016-9035130 (Zulaikha Mokhtar) dan 019-3645538 (Ismail Mokhtar),” katanya. 


0 comments:

share2