Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 13, 2016

GESA ORANG RAMAI LAPOR SEGERA KILANG AIS KOTOR


ais


Shah Alam - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang ramai melaporkan mana-mana kilang ais yang beroperasi tanpa menitik berat soal kebersihan.

Kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, ia bagi memudahkan pihaknya membuat pemantauan serta mengambil tindakan terhadap premis tersebut.

"Kami mengambil maklum laporan akhbar Sinar Harian pada 10 dan 11 Oktober lalu mengenai dakwaan ais yang dijual di pasaran adalah kotor dan dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

"Kami ingin menegaskan di bawah Peraturan 394A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 semua kilang ais perlu dilesenkan oleh KKM dan mana-mana kilang ais yang tidak berlesen akan dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam hal ini, jelasnya, pemilik kilang ais yang beroperasi tanpa lesen dari KKM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Difahamkan, sehingga kini, terdapat 118 kilang ais berlesen dengan KKM di seluruh negara manakala 21 kilang ais masih dalam proses kelulusan lesen.

"KKM juga sentiasa menjalankan pemantauan ke atas kilang ais yang beroperasi di negara ini bagi memastikan pengilang ais mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Di antara perkara penting yang diperiksa dan perlu dipatuhi oleh pengusaha kilang ais adalah seperti tiada haiwan di premis, peralatan yang bersih, sumber air yang bersih, amalan pengendalian ais yang bersih dan pengendali makanan yang mendapat suntikan anti-tifoid," ujarnya lagi.

Pada tahun 2015, sebanyak 304 pemeriksaan ke atas kilang ais telah dijalankan dan 17 kilang ais telah diambil tindakan penguatkuasaan.

Manakala pada tahun 2016 sehingga bulan Ogos, sebanyak 225 pemeriksaan ke atas kilang ais telah dijalankan dan 25 kilang ais telah diambil tindakan penguatkuasaan.

Pengguna yang mempunyai maklumat kilang ais yang beroperasi dalam keadaan yang kotor boleh membuat laporan berserta maklumat lokasi dan nama kilang berkenaan kepada KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat.

Pengguna juga boleh melaporkan perkara tersebut menerusi pautan laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.


0 comments:

share2